PLOT filem Exposed disunting semula untuk tonjol watak Keanu Reeves.
PLOT filem Exposed disunting semula untuk tonjol watak Keanu Reeves.
Susunan Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Menjengah pawagam seluruh negara semalam, filem Exposed hangat diperkatakan apabila sebahagian besar plot cerita disunting semula Lionsgate Premiere.

Perubahan itu dilakukan bagi menonjolkan watak Keanu Reeves selain mahu memastikan filem berkenaan meraih kutipan pecah panggung.

Difahamkan Exposed pada asalnya filem indie yang menggunakan judul Daughter of God ciptaan pengarah baru Gee Malik Linton.

Ia mengupas kisah hidup seorang gadis Latin dan sebuah keluarga dari Republik Dominika.

Ia turut memaparkan keganasan terhadap wanita serta kekejaman polis terhadap komuniti kulit hitam dan Latin.

Menurut satu sumber, pada asalnya watak pegawai polis lakonan Reeves sepatutnya dilakonkan Philip Seymour Hoffman, namun bintang itu meninggal dunia pada Februari 2014.

Pada tahun sama, Reeves menerima tawaran membintangi filem Exposed sekali gus bertindak sebagai penerbit.

Bagaimanapun, sumber itu berkata, selepas Linton menghantar versi asal yang disunting Herve de Luze, Lionsgate memaklumkan mereka membeli filem aksi seram dan bukannya berkonsep drama.

Difahamkan, jalan cerita Daughter of God kemudian disunting semula dan dibintangi Reeves.

“Filem itu kini menjadi karya Keanu malah Lionsgate memadam watak keluarga Dominika.

“Durasi filem itu turut dipendekkan dari 126 minit kepada 102 minit dan diubah menjadi kisah seram. Itulah versi Reeves,” katanya.

Portal Page Six melaporkan jurucakap Reeves ketika mengulas isu terbabit menegaskan bintang The Matrix itu tidak pernah terbabit dalam proses suntingan Exposed.

Kecewa dengan tindakan Lionsgate dan Reeves, Linton enggan dikaitkan dengan Exposed dan menuntut supaya namanya sebagai pengarah filem itu digugurkan.

Kini, filem terbabit menggunakan nama samaran Declan Dale sebagai pengarah.

Filem yang turut dibintangi Ana de Armas, Mira Sorvino dan penyanyi rap Big Daddy Kane itu memaparkan kisah detektif Scott Galban (Reeves) yang berusaha menyelesaikan kes pembunuhan rakan setugasnya.

Siasatan Galban merungkai rasuah dalam kalangan anggota polis serta rahsia bahaya yang membabitkan seorang gadis.

Pada masa sama, Isabel de La Cruz (Ana) mula berdepan beberapa kejadian paranormal selepas me­nyaksikan satu insiden.

Penggambaran filem itu dilakukan sekitar Brooklyn, Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 5:00 AM