KEDAI YBLC turut terkenal dalam kalangan peminat buku tempatan.
KEDAI YBLC turut terkenal dalam kalangan peminat buku tempatan.
MASHHOR melayani pelancong luar negara yang sering mengunjungi perniagaan buku terpakainya.
MASHHOR melayani pelancong luar negara yang sering mengunjungi perniagaan buku terpakainya.
BUKU pelbagai bahasa menanti pengunjung di YBLC.
BUKU pelbagai bahasa menanti pengunjung di YBLC.
Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin


Bermula dengan 20 buku dan beroperasi di gerai kecil lima tahun lalu, kini Mashhor Salleh, 48, berbangga dengan hasil penat lelahnya membangunkan perniagaan buku terpakai di Pulau Langkawi sudah mencecah hampir 6,000 buku.

Kedai Your Language Books Corner (YLBC) yang beroperasi di Pantai Chenang satu-satunya premis menjual buku terpakai di Malaysia yang menawarkan pelbagai buku dalam pilihan 18 bahasa utama dunia.

Buku yang ditawarkan termasuk dalam bahasa Finland, Denmark, Sweden, Itali, Poland, Russia, Slovakia, Norway, Jepun dan Korea di samping Melayu dan Inggeris.

“Kebanyakan pelancong asing singgah ke kedai ini untuk mencari buku dalam bahasa mereka sebagai peneman sewaktu bercuti di sini.

“Pelancong dari Eropah seperti Denmark, Norway, Sweden dan Finland terkenal dengan sikap suka membaca, jadi saya perlu dapatkan buku dalam bahasa mereka daripada pembekal.

“Kami juga mengamalkan konsep pertukaran buku iaitu pelancong menukarkan dua buku mereka dan membawa pulang satu buku dari sini,” kata Mashhor.

Selain itu, YLBC turut membeli kembali buku daripada pelancong yang sudah selesai membaca dan ramai yang menderma ke premisnya sebelum pulang ke tanah air masing-masing.

Secara tidak langsung, premisnya menjadi lokasi pertukaran maklumat dan tarikan pelancongan di pulau legenda itu.

Biarpun tertumpu kepada pelanggan dalam kalangan pelancong asing, Mashhor mampu menjual purata 50 buku sehari dan jika di luar musim percutian, masih dapat menjualnya sekitar 20 buku.

Kekerapan berurusan dengan pelancong asing menyebabkan Mashhor mampu menguasai asas bahasa daripada beberapa negara.

“Bahasa negara Scandinavia seperti Sweden dan Finland seakan-akan sama bunyinya, tetapi jika diamati ia berbeza dari segi dialek,” kata bapa kepada dua anak itu.

Pelancong tempatan juga makin ramai menjadi pelanggan tetap beliau, terutama peminat novel hasil tulisan novelis terkenal dunia yang mudah diperoleh di sini.

Premis itu juga pernah dikunjungi pemimpin dan personaliti tempatan seperti mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Muhammad dan pengarah filem terkenal Mamat Khalid.

Selain jualan, YBLC turut mendermakan buku kepada perpustakaan sekitar Langkawi bagi memberi peluang kepada pelajar membaca tulisan dari luar negara yang berkualiti.

Mashhor merancang membesarkan perniagaannya dalam tempoh lima tahun dan bersedia mengadakan pameran di serata tempat bagi mempromosikan buku pelbagai bahasa kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 11:10 AM