Oleh Amie Sofia Ahmad

Assalamualaikum. Tahun demi tahun kita berazam untuk sesuatu yang lebih baik dan antara yang perlu diberi perhatian ialah tidak hanya fokus pada diri kita, juga orang sekeliling termasuk anak yang menginjak remaja.

Baru-baru ini ‘viral’ mengenai remaja yang kononnya diculik, namun sebenarnya inginkan kebebasan. Jika diteliti kisahnya barangkali remaja ini kurang kasih sayang dan perhatian.

Lalu keluar mencari sesuatu untuk mengisi kekosongan jiwa akhirnya tersilap memilih jalan. Inilah yang perlu diberi perhatian oleh semua ibu bapa untuk mendidik dan mengisi jiwa anak dengan pendidikan dan ilmu yang bermanfaat.

Sabda Rasulullah bermaksud setiap anak dilahirkan dalam keadaan bersih melainkan dua orang tuanya yang bertanggungjawab mencorakkannya menjadikan Yahudi atau Nasrani atau Majusi. (Riwayat Muslim dan Baihaqi).

Wahai pembaca yang dihormati, meneliti kisah yang berlaku pada zaman Umar al-Khattab menjadi khalifah boleh membuktikan adanya penderhakaan ibu bapa terhadap anaknya.

Suatu hari seorang lelaki datang berjumpa Sayidina Umar mengadu perihal anaknya yang didakwanya derhaka terhadapnya. Umar memanggil anak yang dikatakan derhaka itu. Khalifah mengadili anak itu secara berhadapan dengan ayahnya.

Pada majlis pengadilan itu, si anak meminta khalifah menyatakan hak anak terhadap ayahnya. Khalifah Umar menyatakan bahawa: “Antara hak anak terhadap ayahnya adalah mencari isteri yang baik untuk menjadi ibu kepada anaknya yang bakal lahir ke dunia.

“Setelah anak itu lahir, hendaklah si ayah memberikan nama kepadanya dengan nama yang baik. Selepas anak membesar, hendaklah diajar membaca al-Quran.”

Mendengar yang demikian, si anak lantas berkata: “Wahai Amirul Mukminin, itu semua tidak ada yang dia laksanakan. Ibuku dari kalangan Majusi. Namaku dibuatkan Jaklan dan aku tidak diajarnya membaca al-Quran.”

Khalifah Umar merenung ke lelaki yang membuat aduan sambil berkata kepada­nya: “Adakah engkau datang ke sini untuk mengadu kelakuan anakmu? Ternyata engkau derhaka terhadapnya sebelum dia derhaka terhadapmu. Engkau berbuat jahat padanya sebelum dia berbuat jahat padamu.”

Begitulah besarnya tanggungjawab ibu bapa terhadap anak mereka. Sebelum anak itu lahir lagi, kita sudah mempunyai tanggungjawab terhadapnya. Jadi sebelum menghukum anak, wajarlah selidik terlebih dulu punca dan kenapa anak itu tidak berakhlak mulia.

Bagaimana anak itu dibesarkan di rumahnya, bagaimana cara hidupnya? Boleh jadi di rumah lengkap kehidupan, penuh kasih sayang, perhatikan pula dengan siapa anak berkawan, apa yang dilihat menerusi telefon bimbitnya, adakah diri anak kita sudah cukup bekalan melawan nafsu kehidupan atau sempurnakah solat lima waktu serta amalan yang lain? Inilah yang perlu diperhalusi.

Didikan awal dan penting adalah daripada ibu bapa sendiri.Bagaimana kita hendak menyuruh anak mengerjakan solat sedangkan anak tidak pernah melihat ibu bapanya bersolat?

Bagaimana anak tidak terjebak dengan ketagihan rokok jika setiap hari menghidu kepulan asap rokok ayahnya? Inilah antara realiti yang harus diperhati dalam membentuk keluarga harmoni dan disegani.

Wahai pembaca yang budiman, sebagaimana firman Allah SWT dalam (Surah Al-Anfal: ayat 28) : “Dan ketahuilah harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguh–nya di sisi Allah jugalah pahala yang besar.”

Mungkinkah kita beroleh kejayaan tanpa ujian? Mungkinkah kita beroleh kesenangan sebelum berasa kepayahan? Mungkinkah kita berasa manisnya iman jika tidak diuji? Begitulah juga dalam mendidik generasi soleh yang diharap mendoakan kita ketika di alam kubur nanti, pastinya ada ujian dan cabaran yang perlu ditempuhi.

Ikutlah bagaimana cara Rasulullah SAW mendidik anak, berpandulah pada al-Quran yang memberi tunjuk ajar dalam kehidupan, hiduplah dengan ajaran Islam sepenuhnya.

Saya yakin, pasti dan percaya apabila kita menukar cara hidup berpaksikan al-Quran dan sunah, insya-Allah segala-galanya tidak tersasar daripada jalan yang diredai Allah. Semoga kita berjaya dunia dan akhirat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2016 @ 12:12 AM