NOOR Mushar (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan yang dirampas. FOTO Eizairi Shamsudin
NOOR Mushar (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan yang dirampas. FOTO Eizairi Shamsudin
Oleh Aizat Sharif
mohd.aizat@mediaprima.com.my


Kangar: Seorang wanita hamil adalah antara empat suspek ahli ‘Geng Pak Din Canai’ yang ditahan polis kerana terbabit dengan pelbagai jenayah samun dan pecah rumah di beberapa daerah di negeri Perlis beberapa bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Noor Mushar Mohamad suspek wanita yang sarat mengandung lapan bulan itu berusia 24 tahun dan tiga lagi lelaki termasuk ketua kumpulan dan perancang kumpulan itu yang berusia antara 20 hingga 34 itu ditahan di Simpang Empat, Perlis pada 1 tengah hari 24 Disember lalu.

“Penahanan ahli kumpulan itu dilakukan berikutan satu kes samun kedai runcit di Kuala Perlis pada 18 Disember lalu di mana mangsa yang juga isteri kepada pemilik kedai yang berusia dalam lingkungan 40an itu didatangi oleh wanita hamil berkenaan yang berpura-pura bertanyakan mengenai rumah sewa,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, di sini, hari ini.

Beliau menambah ketika kejadian suami mangsa berada di masjid menunaikan solat Jumaat dan sebaik sahaja mangsa membuka pintu kedai, lelaki yang juga rakan suspek wanita hamil itu meluru masuk dari arah belakang rakannya dan menolak mangsa sehingga jatuh.

“Mangsa yang terjatuh diugut untuk tidak melawan dan kesempatan diambil oleh kedua-dua suspek untuk melarikan wang tunai berjumlah RM1,000 dari kedai berkenaan,” katanya lagi.

Kumpulan penjenayah terbabit dipercayai aktif hampir empat bulan lalu dan mensasarkan kawasan rumah dan premis kedai di sekitar Kangar, Kuala Perlis dan Arau serta Changlun di Kedah.

“Mereka ini akan melakukan kegiatan mereka pada siang hari antara 9 pagi hingga 3 petang ketika pemilik atau penghuni kediaman tiada di rumah dan mencari sasaran rumah secara rambang,” katanya lagi.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa barangan seperti televisyen berukuran 58 inci, lima komputer riba dan juga sebuah motosikal dipercayai dicuri dan disamun di beberapa kawasan sekitar Kuala Perlis, Kangar dan Arau.

Kesemua suspek kini direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 4:59 PM