Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Seorang pegawai imigresen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan merogol dan meliwat anak perempuannya berusia empat tahun, pada Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 58 tahun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan hubungan seks kepada anak yang mana hubungan itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang dan hukum agama ketika di sebuah rumah di Sikamat, di sini, pada hujung Oktober hingga pertengahan November, tahun lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun, denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun dan sebat pula, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap kanak-kanak itu, pada tarikh dan lokasi sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Noora Nisa Ngadirin dan tertuduh diwakili peguam Datuk Hanif Hasan dibenarkan ikat jamin RM7,000 oleh mahkamah.

Mahkamah menetapkan 5 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 1:43 PM