GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Agensi

Moscow: Seorang lelaki yang diisytiharkan mati selepas terlalu banyak minum arak terkejut apabila tersedar di dalam bilik mayat.

Dia bagaimanapun tidak pulang ke rumah selepas sedar, sebaliknya kembali berpesta bersama rakannya.

Lelaki yang tidak didedahkan namanya itu sebelum itu menghadiri majlis di Khansanky, timur Russia dan pengsan selepas minum terlalu banyak vodka.

Anggota paramedik yang dipanggil ke tempat kejadian mengumumkan dia mati dan membawanya ke rumah mayat berhampiran.

Di situ, dia dimasukkan dalam peti sejuk kerana bilik mayat sudah penuh.

Tidak lama selepas itu, lelaki berkenaan terjaga dan terkejut melihat persekitarannya. Dia terus mengetuk pintu itu sehingga pengawal keselamatan melaporkan bunyi bising kepada doktor, menyebabkan mereka membuka peti sejuk itu.

Sebaik dibuka, lelaki itu yang panik terus meluru keluar, tetapi berjaya ditenangkan dan disoal polis sebelum dibebaskan.

Jurucakap polis Aleksey Stoyev memberitahu akhbar Khasanskiye Vesti: “Malam itu bilik mayat penuh, termasuk atas lantai bilik sejuk beku, tempat lelaki itu diletakkan.

“Lelaki itu terjaga dalam keadaan yang sejuk dan gelap, tambahan pula masih mabuk. Dia panik selepas tersentuh mayat di sebelahnya yang sejuk menyebabkan dia meluru ke arah pintu, namun ia berkunci.

“Mujur ada orang mendengar dia mengetuk pintu itu,”

Selepas disoal siasat dan dibenarkan pulang. Tetapi dia kembali ke majlis dihadirinya sebelum itu ketika rakannya upacara memperingatinya.

Kehadirannya mengejutkan mereka, malah seorang rakannya pengsan selepas melihatnya.

Mereka semua meneruskan majlis itu dan kembali minum bagi meraikan ‘kehidupan semula’ lelaki itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 6:52 AM