AKTIVITI ‘flying fox’ antara tarikan Skytrex Adventure Langkawi.
AKTIVITI ‘flying fox’ antara tarikan Skytrex Adventure Langkawi.
SKYCAB dan Sky Bridge menawarkan panorama indah dan nyaman kepada pengunjung.
SKYCAB dan Sky Bridge menawarkan panorama indah dan nyaman kepada pengunjung.
KILIM Geoforest Park bukan saja tempat lawatan kawasan paya bakau tapi turut menawarkan pelbagai tarikan lain.
KILIM Geoforest Park bukan saja tempat lawatan kawasan paya bakau tapi turut menawarkan pelbagai tarikan lain.
GUJI LORENZO teruja dan tekun mewarnakan batik di Kompleks Kraftangan Langkawi.
GUJI LORENZO teruja dan tekun mewarnakan batik di Kompleks Kraftangan Langkawi.
KUNJUNGAN ke Langkawi Art In Paradise Museum turut memberi pengalaman baru kepada penulis.
KUNJUNGAN ke Langkawi Art In Paradise Museum turut memberi pengalaman baru kepada penulis.
PESERTA Asean Celebrity Explore Quest Malaysia 2015 (ACEQM 2015) bergambar ketika menikmati suasana matahari terbenam di atas kapal layar Lili Marleen.
PESERTA Asean Celebrity Explore Quest Malaysia 2015 (ACEQM 2015) bergambar ketika menikmati suasana matahari terbenam di atas kapal layar Lili Marleen.
MAJLIS penutup ACEQM 2015 oleh Mirza Mohammad (tiga dari kanan).
MAJLIS penutup ACEQM 2015 oleh Mirza Mohammad (tiga dari kanan).
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Setiap langkah dan cubaan meneruskan perjalanan hingga ke garisan penamat penuh mendebarkan kerana mencabar kekuatan fizikal dan mental.

Itulah yang dirasai penulis ketika turut serta dalam aktiviti lasak di Skytrex Adventure Langkawi, baru-baru ini.

Terletak di Teluk Yu, Kampung Kok, Skytrex Adventure Langkawi mencabar stamina kerana bentuk landskap pusat rekreasi itu yang berbukit menjadikan aktiviti mendaki lebih mencabar.

Namun, cabaran mendaki ke platform lebih tinggi berbaloi kerana pengunjung diberi ganjaran dengan mencuba aktiviti ‘flying fox’ selepas mendaki dan ia memberi kepuasan dan keseronokkan serta lebih relaks.

Pusat rekreasi ini bukan saja menawarkan aktiviti lasak, malah bagi mereka yang gemar menikmati alam semula jadi, ia pasti memberi pengalaman unik.

Penulis berkesempatan mengunjungi Skytrex Adventure Langkawi ketika menyertai ASEAN Celebrity Explore Quest Malaysia 2015 (ACEQM 2015) anjuran Tourism Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN, bulan lalu.

Rombongan yang bertujuan mempromosi Langkawi kepada pelancong luar negara itu disertai lebih 100 peserta terdiri daripada selebriti dan wakil media dari 10 negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Pulau Langkawi menjanjikan pelbagai aktiviti dan panorama menarik yang bukan saja menggamit pelancong luar negara, malahan warga tempatan.

Mendapat nama daripada gabungan burung helang dan batu kawi, Langkawi yang mempunyai 99 pulau turut menyimpan pelbagai legenda dan sejarah tersendiri.

Namun, kunjungan terbaru ke Pulau Langkawi memberi pengalaman berbeza kerana diberi peluang melawat kawasan tarikan pelancongan dan lokasi bersejarah.

Peserta ke pulau berkenaan dengan menaiki feri di Jeti Kuala Kedah. Setiba di Jeti Kuah, kami dibawa menaiki bot ke tengah laut untuk menaiki kapal layar mewah, Lili Marleen untuk menikmati suasana matahari terbenam.

Kapal layar yang boleh memuatkan 100 orang itu mempunyai dek yang luas untuk bersantai sambil menikmati udara laut segar serta ruang makan selesa dilengkapi pendingin hawa.

Kami sempat minum petang sebelum kapal layar itu meneruskan perjalanan untuk menikmati suasana senja matahari terbenam.

Makan malam turut disediakan dan kami sempat menghayati suasana malam di atas laut sebelum bertolak ke Jeti Kuah dan bermalam di The Westin Langkawi Resort & Spa.

Rombongan turut dibawa ke Kompleks Kraf Langkawi untuk menyertai aktiviti lebih santai iaitu mewarnakan batik sambil diiringi nyanyian lagu tradisional Melayu.

Ia juga menjadi tempat persinggahan delegasi membeli produk batik tempatan.

Menurut pelakon dan hos dari Filipina, Guji Lorenzo, aktiviti mewarnakan batik bukan saja menarik, malah memberi pendedahan kepada orang luar mengenai batik di Malaysia.

“Saya teruja melakukan aktiviti ini kerana ini kali pertama saya lakukan. Sambil mewarna, dapat mendengar lagu tradisional yang relaks bagi menyiapkan hasil masing-masing sebelum membeli produk itu,” katanya.

Rombongan juga berpeluang menaiki kereta kabel Langkawi SkyCab dan Sky Bridge sambil menikmati pemandangan Pulau Langkawi dari tempat tinggi.

Gayat dan cemas. Itulah yang penulis rasai saat menjejakkan kaki di Sky Bridge ketika angin sejuk dan nyaman bertiup.

Jambatan gantung 100 meter itu boleh menampung 250 orang dalam satu masa menjanjikan pengalaman unik kerana dikelilingi gunung-ganang menghijau.

Terletak di lokasi yang sama, peserta rombongan berpeluang mengunjungi Langkawi Art In Paradise Museum yang menarik dengan lukisan tiga dimensi.

Ia lokasi wajib dan menarik terutama bagi mereka yang gemar bergambar dan menghargai hasil seni.

Pengalaman alam semula jadi kami diteruskan dengan berkunjung ke Kilim Geoforest Park apabila peserta dibawa menaiki bot untuk melihat kawasan itu.

Kami turut singgah di Gua Kelawar untuk melihat habitat haiwan yang aktif pada waktu malam sebelum singgah di kawasan persinggahan burung helang. Lawatan di sekitar taman itu tidak terhad kepada paya bakau kerana pengunjung turut berpeluang melihat pulau berdekatan seperti Pulau Kasut yang bentuknya seakan kasut.

Peserta singgah makan tengah hari di restoran terapung ‘Hole In The Wall’ di Kilim Geoforest Park sebelum pulang.

Sementara itu, wakil media dari Medan, Indonesia, Wiras Tuti, aktiviti di Kilim Geoforest Park menjadi kegemarannya kerana dapat melihat keindahan alam semula jadi Pulau Langkawi dari sudut berbeza.

“Saya belum pernah ke sini dan bertuah kerana dapat berkunjung ke Kilim kerana selain dapat menaiki bot dan melihat paya bakau, kita juga dapat melihat burung helang dan singgah di gua untuk melihat kelawar.

“Flora dan fauna di sini sangat menarik dan kawasan pulau berdekatan Pulau Langkawi turut menambat hati menyebabkan saya akan kembali ke sini,” katanya.

Pengembaraan dan pengenalan kepada lokasi menarik di Pulau Langkawi diakhiri dengan majlis penutup ACEQM 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) yang di­sempurnakan Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab.

Penyanyi dari Malaysia Amy Wang berkata, walaupun pernah berkunjung ke Langkawi sebelum ini, lawatan kali ini berbeza kerana dapat ke tempat menarik yang belum pernah dikunjunginya.

“Saya baru tahu kewujudan beberapa tempat yang kita kunjungi selama tiga hari di sini dan semestinya akan kembali ke sini bersama keluarga dan rakan kerana Pulau Langkawi penuh dengan aktiviti menarik.

“Saya juga seronok dapat ke sini bersama selebriti dan media dari Asia Tenggara kerana dapat mempromosikan produk tempatan dan dengan harapan mereka akan kembali ke sini,” katanya.

Antara barisan artis Malaysia yang turut serta ialah Sazzy Falak, Nazril Idrus dan Ruhainies.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 12:01 PM