NAJI
NAJI

Turki: Seorang wartawan dan pembuat filem Syria yang menghasilkan dokumentari anti-Negara Islam (IS) ditembak mati oleh penyerang yang tidak dikenali di Gaziantep, Turki.

Ini serangan ketiga ke atas wartawan di Turki sepanjang tiga bulan lalu.

Naji Jerf, ketua editor Hentah, yang terkenal dengan dokumentarinya mendedahkan keganasan serta penderaan IS, mati ditembak berhampiran bangunan yang menjadi premis media bebas Syria di Gaziantep.

Kematiannya dilaporkan ahli kumpulan wartawan tempat dia bekerja.

Naji sebelum ini menyiapkan dokumentari penyiasatan mengenai kekejaman dan jenayah IS bagi bertajuk ‘Raqa Dibunuh Dalam Diam.’

Filem dokumentari itu memenangi Anugerah Kebebasan Akhbar Antarabangsa oleh Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) pada November lalu.

Menurut laporan, dia ditembak di kepala ketika berjalan pada waktu siang. Dia dibawa ke hospital namun disahkan meninggal.

Serangan itu berlaku di hadapan kamera keselamatan berhampiran.

Seorang rakan Naji memberitahu dia sepatutnya tiba di Paris bersama keluarganya minggu ini selepas mendapat visa suaka ke situ.

Penyelaras program Timur Tengah dan Afrika Utara CPJ, Sherif Mansour berkata: “Wartawan Syria yang melarikan diri ke Turki untuk keselamatan mereka sebenarnya tidak selamat langsung.

“Kami menggesa pihak berkuasa Turki membawa pembunuh Naji Jerf ke muka pengadilan dan meningkatkan keselamatan untuk melindungi semua wartawan Syria di Turki,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 6:03 AM