Oleh Fuad Hadinata Yaacob


Sabak Bernam: Seramai 87 peserta daripada sembilan kumpulan muzik tradisi masyarakat Jawa dikenali Cempuling mencatat nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas mengadakan persembahan selama 25 jam tanpa henti.

Mereka membuat persembahan mulai jam 10 pagi semalam hingga 11 pagi tadi di inap desa Sungai Haji Dorani, Parit Dua, dekat sini.

Kumpulan berkenaan adalah Seni Cempuling Warisan Era Baru, Cempuling Damar Wulan, Seni Irama Cempuling, Cempuling Asli Sungai Serdang, Cempuling Moden Cendana Klasik, Rangkaian Irama Cempuling, Cempuling Sinar Harapan, Cempuling Mat Pong dan Cempuling Irama Damai.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) Mohd Faizul Fitri Muslil berkata, Cempuling adalah muzik tradisi masyarakat Jawa yang wujud sejak 1928 di Tanah Melayu dan kini semakin pupus.

"Cempuling dimainkan dalam satu kumpulan minimum seramai enam ahli diketuai seorang penyanyi dan mereka bermain instrumen seperti gendang dan rebana dikenali gendang panjang, gendang eteng-eteng, rebana gong, rebana kempreng dan rebana kempul," katanya.

Menurutnya, program itu bertujuan mengangkat dan memartabatkan seni muzik Cempuling sebagai identiti muzik negeri itu selain mengumpul dan menambahkan lagi sumber maklumat serta bahan kajian sedia ada mengenai Cempuling untuk generasi kini dan akan datang.

Katanya, program itu berjaya menghimpunkan ramai aktivis kumpulan Cempuling dari negeri itu seterusnya berjaya mendedahkan dan mempromosi seni muzik itu kepada orang ramai.

Sijil MBOR diserahkan Pengarah Operasi MBOR Christopher Wong kepada Pengerusi PADAT Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 8:49 PM
Sebahagian kumpulan Cempuling yang membuat persembahan. FOTO Muhammad Sulaiman
Sebahagian kumpulan Cempuling yang membuat persembahan. FOTO Muhammad Sulaiman