Tawfiq (dua dari kanan) bersama Felicia serta ibubapanya, Nimah Batingan,53, dan Mikat Yamun, 54. Foto NSTP/EDMUND SAMUNTING
Tawfiq (dua dari kanan) bersama Felicia serta ibubapanya, Nimah Batingan,53, dan Mikat Yamun, 54. Foto NSTP/EDMUND SAMUNTING

Kota Kinabalu: Ratu pecut Felicia Mikat muncul penerima tertinggi insentif kerajaan negeri Sabah setelah meraih tiga pingat emas dalam temasya Sukan Para ASEAN 2015 di Singapura, baru-baru ini.

Gadis genit berusia 16 tahun itu menerima 'durian runtuh' sebanyak RM20,000 selepas kejayaannya dalam acara 100m, 200m dan 400m wanita bagi kategori T13 (masalah penglihatan).

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Badin di Tuaran itu merupakan antara atlet paralimpik Sabah menerima insentif trsebut daripada Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, di sini hari ini.

Kerajaan negeri memberikan insentif RM10,000 untuk pingat emas pertama manakala RM5,000 untuk pingat emas berikutnya dan RM1,000 untuk pingat perak dan gangsa.

Pemenang emas lain turut menerima insentif - Doriah Poulus (lontar peluru), Shamli Waidi (merejam lembing), Azuan Amir Hassan (boling), Al Mustakim Matrin (perahu layar) dan pemain futsal Rollen Marakim.

Pencapaian atlet Sabah pada temasya sukan itu ialah 10 pingat emas, tiga (perak) dan empat (gangsa), berbanding sembilan pingat emas, lima perak dan satu gangsa pada Sukan Para ASEAN 2014 di Myanmar.

Tawfiq, yang juga Pengerusi Majlis Sukan Negeri Sabah, berkata kerajaan negeri memberikan insentif kemenangan berjumlah RM258,675 kepada pegawai dan atlet paralimpik sejak 2011 sebagai tanda penghargaan kerana mengharumkan nama negeri dan negara.

"Kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan pencapaian atlet paralimpik. Apa (insentif) diberikan kepada atlet biasa, atlet paralimpik juga akan memperoleh manfaat yang sama, tiada beza," katanya.

Selain itu, katanya, sejak tahun lepas, kerajaan negeri membelanjakan sejumlah RM677,684 untuk pembangunan sukan paralimpik melalui penganjuran pelbagai program dan penyertaan di peringkat negeri dan kebangsaan.

Di Singapura, kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 314 atlet dan pegawai menduduki tempat ketiga keseluruhan, di belakang Thailand dan Indonesia dengan 52 emas, 58 perak dan 37 gangsa. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 9:56 PM