ANWAR Ibrahim mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra pada 5 Disember lalu. FOTO BERNAMA
ANWAR Ibrahim mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra pada 5 Disember lalu. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengukur kepada Kabinet Kerajaan Perpaduan adalah aspek kesepakatan dan kerjasama sebagai satu kumpulan meskipun jemaah menteri dari parti politik yang berbeza.

Penganalisis Sosiobudaya Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi berkata, naratif bahawa kerjasama sukar dibentuk antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah tidak tepat berikutan kedua-dua parti itu berkongsi asas 'kepelbagaian budaya' yang sama.

"BN daripada awal adalah parti berbilang kaum, kita lihat PH juga mempunyai persamaan dengan adanya DAP. Sama juga bagi parti Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Situasi ini pula berbeza bagi Bersatu dan PAS yang lebih kepada satu kaum atau agama. Maka, mustahil jika ketiga-tiga (BN, PH dan GPS) parti yang 'bergaduh' sebelum ini tidak boleh bekerjasama," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membincangkan mengenai topik Kabinet Perpaduan: Kekuatan 28 Portfolio pada program Ruang Bicara terbitan BernamaTV, malam ini.

Sementara itu, mengulas pembentangan usul undi percaya pada Persidangan Dewan Rakyat 19 Disember ini, Mohd Tajuddin berkata, semua ahli Parlimen perlu bersatu dan bekerjasama bagi menghadapi 'ujian' pada hari berkenaan (19 Disember) dalam usaha menyelamatkan serta memajukan negara meskipun berbeza ideologi dan parti politik.

"Keabsahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dikatakan pada 19 Disember ini saya tidak lihat ia keabsahan beliau tetapi itu adalah ujian ahli-ahli Parlimen, adakah mereka bersatu dan bersedia untuk mempertahankan negara. Maka ini adalah ujian kepada mereka dan bukannya Perdana Menteri," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Peace Malaysia Dr Zokhri Idris pula berkata, pelantikan jemaah menteri Kabinet dilihat tepat berdasarkan latar belakang kepakaran masing-masing.

"Benar terdapat dua kedudukan yang dipertikaikan namun itu tidak boleh menjadi punca dalam menyoal kesesuaian pelantikan jemaah menteri. Saya lihat kadar kesesuaian itu tinggi dan (jemaah menteri) diletakkan pada kedudukan kementerian yang betul.

"Saya rasakan masih terlalu awal untuk kita menilai kelompongan yang ada pada kementerian itu kerana posisi pelantikan bagi timbalan menteri itu masih belum lengkap. Beri peluang kepada Kerajaan Perpaduan ini menerajui negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 8:37 AM