ANGGOTA bomba berusaha menyelamatkan 10 sekeluarga yang terperangkap dalam kejadian kepala air. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha menyelamatkan 10 sekeluarga yang terperangkap dalam kejadian kepala air. FOTO Ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Seramai 10 sekeluarga yang beriadah di Air Terjun Sungai Pinang, Batang Kali, di sini, berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kejadian kepala air, hari ini.

Mereka yang berusia enam hingga 63 tahun itu dipercayai terperangkap di lokasi kejadian hampir empat jam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.36 petang.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Berdasarkan laporan awal, terdapat 10 mangsa terdiri daripada empat kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.

"Manakala dua lelaki dan dua wanita pula masih berada di seberang sungai akibat kepala air yang mengalir daripada hulu sungai," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norazam berkata, kesemua mangsa yang berasal dari Sungai Buloh berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan.

"Ketika ini, anggota bomba berjaya pergi ke seberang sungai dan dalam proses memindahkan mangsa ke tempat selamat.

"Kemas kini kerja penyelamatan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 7:04 PM