BERA 18 NOVEMBER 2022. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika Program Ramah Mesra di Bandar 32, Bera. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
BERA 18 NOVEMBER 2022. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika Program Ramah Mesra di Bandar 32, Bera. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Mohd Iskandar Ibrahim


Kuala Lumpur: Keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak daripada menggunakan kereta jenis Mercedes S600 yang dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) bukan perkara luar biasa.

Bekas Pengarah Media dan Strategik Komunikasi kepada Perdana Menteri, Datuk Ruhaidini Abd Kadir berkata, Perdana Menteri ke-9 Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga pernah menolak untuk menggunakan kenderaan kalis peluru yang disediakan kerajaan untuknya.

"Sepanjang bergelar Perdana Menteri, Ismail Sabri lebih selesa menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang digunakan oleh pentadbiran terdahulu," tulisnya dalam entri Facebook hari ini.

Anwar semalam memaklumkan beliau menolak daripada menggunakan kereta jenis Mercedes S600 yang dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum beliau memasuki pejabat.

Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil kerana beliau tidak mahu sebarang perbelanjaan baharu dibuat ke atasnya.

Ruhaidini berkata, Ismail Sabri juga enggan meluluskan permohonan untuk mengubahsuai pesawat khas bagi kegunaan Perdana Menteri.

"Ismail Sabri juga terus tinggal di rumah peribadi dan memilih untuk tidak berpindah ke Seri Perdana meskipun kediaman rasmi Perdana Menteri sudah indah diubah suai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 6:25 PM