KHAIRY Jamaluddin ketika sidang media mengenai situasi semasa Covid-19 di Hospital Sungai Buloh. FOTO BERNAMA
KHAIRY Jamaluddin ketika sidang media mengenai situasi semasa Covid-19 di Hospital Sungai Buloh. FOTO BERNAMA
Sudirman Mohd Tahir

Sungai Buloh: "Selamat untuk keluar mengundi, saya sudah minta pandangan pakar dan mereka menyatakan gelombang kini terkawal."

Itu pesanan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin selain meminta masyarakat tidak takut untuk keluar mengundi Sabtu ini.

Menurutnya yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh sudah meminta pandangan pakar mengenai keadaan jangkitan Covid-19 yang terkini.

"Dua minggu lalu saya keluarkan nasihat berkaitan dengan gelombang Covid-19 baharu yang melanda negara. Syukurlah dengan sokongan daripada rakyat yang mendengar nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) kita lihat pada minggu lalu kes baharu menurun sebanyak 13.4 peratus berbanding minggu sebelumnya.

"Saya juga sudah bertanyakan kepada Timbalan Ketua Pengarah KKM serta pakar daripada bahagian penyakit berjangkit bagaimana dengan kemasukan pesakit Covid-19 di hospital dan ia dilaporkan tiada peningkatan dan jumlahnya mula turun.

"Dengan itu saya yakin bahawa situasi Covid-19 dan gelombang kecil ini dalam keadaan terkawal. Jadi kita nasihatkan masyarakat untuk terus berwaspada dan berhati-hati terutamanya pada hujung minggu ini. Kerana akan adanya ceramah, kempen serta hari pengundian yang sudah tentu akan berlakunya kesesakan," katanya.

Terdahulu, beliau ditemui pada sesi Sidang Media Menteri Kesihatan Berhubung Status Terkini Covid-19 di Hospital Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Menurutnya, KKM menasihatkan orang ramai supaya mengikuti beberapa saranan bagi memastikan proses pengundian berjalan dengan selamat.

"Semua individu positif Covid-19 wajib memakai pelitup muka, manakala pemakaian pelitup muka bagi pengundi lain adalah amat digalakkan. Pengundi positif tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk e-hailing, singgah di mana-mana sebelum dan selepas mengundi, dan perlu pulang segera selepas selesai mengundi.

"Selain itu, perlu sanitasi tangan yang disediakan di tempat mengundi. Membawa pensanitasi tangan sendiri adalah disyorkan.

"Pengundi positif juga perlu mematuhi penjarakan fizikal yang selamat, manakala penjarakan fizikal bagi pengundi lain amat digalakkan.

"KKM akan terus memantau perkembangan jangkitan Covid-19 terutamanya sub varian XBB serta memastikan kesiapsiagaan hospital untuk merawat pesakit Covid-19. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan," katanya.

Secara kumulatif, dari 25 Januari 2020 hingga 16 November 2022, sebanyak 4.9 juta kes baharu Covid-19 dan 36,574 kes kematian akibat wabak itu dilaporkan di Malaysia.

Semalam, sebanyak 3,304 kes baharu dikesan dengan lapan kematian.

Jumlah saringan yang dilakukan adalah sebanyak 44,525 dengan kadar positiviti 7.42 peratus. Kadar positiviti ini sedikit meningkat berbanding kelmarin iaitu 5.76 peratus daripada 49,523 saringan yang dijalankan.

Sehingga semalam, terdapat peningkatan kematian yang disebabkan oleh jangkitan Covid-19 sebanyak 33 peratus iaitu peningkatan sebanyak 12 kematian daripada Minggu Epid ke 44/2022.


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 1:38 PM