GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengambil perhatian terhadap laporan kajian kualiti jalan raya yang diterbitkan firma pendidikan pemandu, Zutobi menerusi laporan bertajuk Worst and Best Roads - US and International Ranking, sebagai satu kaedah semak dan imbang.

Menerusi kenyataannya, KKR memaklumkan pelbagai komitmen berterusan dilaksanakan KKR khusus dalam menjaga kualiti jalan raya di negara ini dan dalam konteks bidang kuasa KKR, selain penyelenggaraan difokuskan kepada jalan persekutuan dengan jarak 20,017 kilometer.

"Ini perlu ditekankan kerana terdapat pelbagai jenis jalan raya di bawah bidang kuasa pelbagai pihak di negara ini. Pada 2022, KKR menerima sebanyak RM913,335 juta peruntukan sebagai kos penyelenggaraan jalan raya di seluruh negara.

"Bagi memastikan keberhasilan daripada peruntukan itu, sebanyak 6,656 tampalan jalan berlubang dilaksanakan sehingga Ogos lalu," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut KKR, perjanjian Konsesi berasaskan kontrak prestasi (PBC) bagi kerja penyelenggaraan jalan juga diadakan 16 Jun lalu untuk tempoh sehingga sehingga Februari 2026.

Menurutnya, ia membabitkan penyelenggaraan di jalan persekutuan di Zon Selatan Semenanjung.

"KKR juga memfokuskan kepada usaha berterusan menjaga kualiti jalan raya menerusi kempen Zeropotholes sejak 2016 dan Kempen Kita Jaga Jalan Kita yang dilancarkan pada November 2021.

"Selain itu, peruntukan tambahan sebanyak RM130 juta sudah diluluskan bagi tujuan Perbelanjaan Pembangunan Kerja Penyenggaraan Berkala Pavemen di Jalan Persekutuan Seluruh Malaysia secara 'one-off'," katanya.

Malaysia tersenarai pada kedudukan ke-48 atau dalam kalangan 59 negara yang memiliki kualiti jalan raya paling teruk di dunia.

Senarai itu dikeluarkan menerusi kajian firma pendidikan pemandu, Zutobi menerusi laporan bertajuk Worst and Best Roads - US and International Ranking.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 8:07 PM