GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Polis menahan seorang lelaki yang mengalami masalah mental kerana membaling pisau di sebuah restoran makanan segera di Taman Midah, Cheras, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisiner Zam Halim Jamaluddin berkata, kejadian berlaku jam 11.25 pagi itu kemudiannya tular di media sosial.

Menurutnya, susulan daripada kejadian itu, polis menahan suspek yang kini sedang menerima rawatan sakit mental di Hospital Kuala Lumpur.

"Polis mengesan kejadian itu selepas tular di laman sosial TikTok 2 petang hari ini.

"Lelaki tempatan itu ditahan oleh orang awam selepas kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, suspek juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) serta mempunyai kad OKU dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam.

"Sebarang maklumat berhubung kejadian ini, boleh disalurkan kepada polis di talian 03-9284 5050/5051 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 7:27 PM