Norzamira Che Noh

Shah Alam: Setapak dikenal pasti sebagai lubuk bagi doktor gigi palsu dengan Kementerian Kesihatan kini mengambil tindakan serius bagi menangani kegiatan perkhidmatan pergigian tanpa tauliah.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya akan terus membuat serbuan ke atas premis yang terbabit kegiatan itu berdasarkan maklumat dan risikan yang dilakukan.

"Baru-baru ini, KKM melakukan serbuan di Setapak, Kuala Lumpur dan saya difahamkan Setapak ini lubuk bagi doktor gigi palsu.

"Justeru, serbuan akan terus dilakukan KKM supaya amalan-amalan doktor palsu ini dapat dikekang dan dihentikan.

"Jika didapati bersalah, hukumannya besar iaitu denda maksimun RM300,000 dengan penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan (mengikut Akta Pergigian 2018), jadi not worth it (tidak berbaloi)," katanya pada sidang media selepas melawat Klinik Pergigian Bandar Botanik dekat sini, hari ini.

Khairy berkata, sebanyak 10 serbuan sudah dilaksanakan di seluruh negara sejak Akta Pergigian 2018 yang baharu dikuatkuasakan 1 Januari lalu.

Beliau juga berharap agar orang ramai tidak menggunakan perkhidmatan doktor gigi tidak bertauliah dan mengemukakan maklumat kepada pihaknya untuk tindakan lanjut jika mengetahu sebarang kegiatan haram itu.

Sementara itu, Khairy memaklumkan Klinik Pergigian Bandar Botanik dan Klinik Pergigian Kuala Lumpur kini dalam proses pelaksanaan Proof of Concept (POC) untuk Projek Rintis Penghasilan Gigi Palsu (Denture) menggunakan teknologi 3D.

Katanya, projek itu adalah yang pertama seumpamanya dijalankan di peringkat KKM bagi memperkenal dan mendedahkan teknologi terkini pembuatan gigi palsu kepada anggota pergigian KKM serta mempercepatkan penghasilan dentur untuk keluarga Malaysia.

Jelasnya, projek bermula pada 15 Ogos lalu dan akan dilaksanakan selama tiga bulan sehingga 15 November depan.

"Dijangkakan penghasilan dentur pada masa hadapan dapat ditingkatkan daripada purata 90 unit kepada 300 unit sebulan bagi setiap klinik pergigian yang dilengkapi teknologi 3D," katanya yang memberitahu kekerapan lawatan pesakit pembuatan dentur juga dapat dikurangkan kepada dua kali berbanding lima sebelum ini.

KHAIRY (dua dari kanan) ketika melawat Klinik Pergigian Bandar Botanik, Klang, hari ini. FOTO Faiz Anuar.
KHAIRY (dua dari kanan) ketika melawat Klinik Pergigian Bandar Botanik, Klang, hari ini. FOTO Faiz Anuar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 6:41 PM