KEBAKARAN memusnahkan dua buah rumah kediaman di Jalan Nanas Barat, Kampung Kudei, Kuching hari ini. FOTO Norsyazwani Nasri
KEBAKARAN memusnahkan dua buah rumah kediaman di Jalan Nanas Barat, Kampung Kudei, Kuching hari ini. FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri


Kuching: Demi kasih sayang seorang adik, seorang pemuda sanggup menggadaikan nyawa menyelamatkan abangnya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) daripada terperangkap dalam kebakaran di rumah mereka di Jalan Nanas Barat, Kampung Kudei di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa berusia 27 dan 28 tahun itu bersama tiga lagi ahli keluarga mereka berada di rumah.

Ketika api marak, mereka semua segera menyelamatkan diri, namun OKU berkenaan masih terperangkap di dalam menyebabkan adiknya nekad menyelamatkannya.

Kejadian itu menyebabkan adiknya melecur 10 peratus dan abangnya melecur 30 peratus di bahagian kepala, bahu dan tangan.

Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapat rawatan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 9.37 pagi dan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang, BBP Padungan dan BBP Petra Jaya ke lokasi kejadian.

"Ketika sampai di lokasi didapati dua buah rumah telah terbakar keseluruhan. Sebuah rumah lagi terbakar di bahagian dinding, dan bomba berjaya mengawal kebakaran dari merebak ke rumah keempat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pihaknya memadam kebakaran menggunakan konsep RECEO menggunakan satu aliran, dua nozel air dari tangki jentera dan mengepam air sungai yang jaraknya 60 meter dari lokasi kejadian.

"Pemadaman dilakukan secara defensif sehingga kebakaran dapat dikawal dari merebak ke rumah bersebelahan.

"Turut terbakar dua buah motosikal berada di lokasi kejadian, pemadaman diteruskan sehingga api padam sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 6:15 PM