GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Polis menahan wanita dan anak lelakinya untuk membantu siasatan berhubung kejadian seorang lelaki dibelasah dan disamun sekumpulan individu di tepi jalan berhampiran sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Bandar Darulaman, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, siasatan awal mendapati, mangsa berusia 32 tahun itu pada mulanya dihubungi seorang individu pada malam Jumaat lalu yang meminta menghantar motosikalnya dari Jitra ke Batu Kurau, Perak.

Beliau berkata, mangsa yang bekerja sebagai 'runner' itu bersetuju untuk bertemu dengan lelaki terbabit di tepi jalan IPTA itu.

"Pada keesokannya, mangsa pergi ke tempat yang dijanjikan dengan menaiki sebuah kereta jenis Toyota Hilux dan bertemu dengan dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal jenis Y15.

"Sewaktu mengangkat motosikal Y15 itu ke belakang kereta Toyota Hilux, mangsa secara tiba-tiba didatangi dua individu lain dan salah seorang daripadanya terus menumbuk mukanya.

"Mangsa turut membalas tumbukan itu namun terus dipukul oleh beberapa tujuh hingga lapan orang suspek lain," katanya ketika dihubungi hari ini.

Rodzi berkata, ketika itu, beg sandang milik mangsa dipercayai diambil salah seorang suspek dari kumpulan terbabit sebelum melarikan diri.

Beliau berkata, tidak lama selepas itu, mangsa didatangi pula seorang wanita berusia 40-an dan anak lelakinya berusia 24 tahun yang menaiki sebuah Nissan Navara yang datang terus ke arahnya.

Katanya, ketika itu berlaku pertengkaran mulut antara pengadu dan dua beranak itu di lokasi kejadian.

"Hasil siasatan mendapati, punca kejadian berlaku disebabkan pengadu mempunyai masalah jual beli sebuah kereta Proton Waja dengan wanita itu sebelum ini.

"Mangsa dipercayai membeli kereta terbabit daripada wanita itu dengan harga RM7,500 pada 15 Ogos lalu tetapi belum membuat bayaran.

"Malah mangsa mendapati kereta itu bukan didaftar atas nama wanita berkenaan malah dia belum menukar nama dengan pemilik pertama kereta terbabit selain turut dimaklumkan wanita itu juga belum membuat bayaran ketika membeli kereta itu," katanya.

Rodzi berkata, pada 18 September lalu, mangsa menghubungi pemilik sebenar kereta itu dan sudah menukar nama serta menjual kereta itu dengan harga RM6,000 dan wang itu diberi kepada pemilik kereta berkenaan.

Beliau berkata, berikutan itu, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian muka dan badan kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu sejurus selepas itu.

Katanya, mangsa mengalami kerugian wang tunai sebanyak RM6,000 dan sebuah telefon bimbit.

"Susulan itu, polis menahan wanita terbabit dan anak lelakinya Ahad lalu untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

"Setakat ini polis sedang menjalankan siasatan sama ada kumpulan individu yang memukul mangsa itu dan melarikan diri itu mempunyai kaitan dengan dua beranak ini atau sebaliknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 9:55 PM