Datuk Seri M Saravanan ketika berucap di Seminar Kepimpinan dan Pengurusan Kuil Hindu Era Kecemerlangan yang diadakan di Puteri Harbour di sini, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein
Datuk Seri M Saravanan ketika berucap di Seminar Kepimpinan dan Pengurusan Kuil Hindu Era Kecemerlangan yang diadakan di Puteri Harbour di sini, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein


Iskandar Puteri: Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) perlu menambah baik prestasi mereka bagi memastikan matlamat asal penubuhannya dapat dilaksanakan.

Menteri Kementerian Sumber Manusia (KSM), Datuk Seri M Saravanan berkata, sejak TalentCorp ditubuhkan pada 2011 bagi membawa pulang tenaga kerja luar negara kembali ke Malaysia termasuk golongan profesional, prestasinya dilihat tidak memuaskan.

"Inilah cabaran besar yang dihadapi kini apabila tenaga kerja kita meninggalkan negara, tiada sebarang maklumat mereka bekerja di mana dan bekerja apa.

"Apabila sampai ke satu negara itu, mereka berdaftar dengan duta kita, tetapi tiada maklumat, khususnya yang berhijrah ke Singapura.

"Itu sebab kita memulakan TalentCorp untuk memastikan mereka membawa masuk semula tenaga kerja yang sudah keluar daripada negara, tetapi dari segi keberkesanannya, tidak memuaskan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Seminar Kepimpinan dan Pengurusan Kuil Hindu Era Kecemerlangan yang diadakan di Puteri Harbour di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar.

Saravanan berkata, daripada aspek sumber manusia, golongan profesional, mahu pun peringkat rendah masih memilih untuk keluar negara dipercayai kerana kekukuhan ekonomi negara luar.

"Sebagai contoh, individu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, di sini mereka bergaji RM1,800, tetapi individu sama yang melakukan pekerjaan sama di Singapura boleh mendapat gaji wang Singapore Dollar (SGD) 2,000 dan apabila kali 3.20, mereka mendapat gaji RM6,000 lebih," katanya.

Oleh itu, Saravanan menggesa rakyat negara ini untuk mengembalikan kestabilan politik bagi membolehkan usaha pemulihan ekonomi negara juga dapat berjalan dengan lancar.

"Kita perlu kukuhkan ekonomi, tetapi kita perlukan kestabilan politik juga. Apabila tiada kestabilan politik, bagaimana hendak kukuhkan ekonomi, nanti pelabur tidak masuk.

"Jadi, rakyat mempunyai kemampuan untuk melakukan perubahan itu, pilihlah (parti yang memerintah)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 9:36 PM