DATUK Seri M Saravanan merasmikan Seminar Kepimpinan dan Pengurusan Kuil Hindu Era Kecemerlangan yang diadakan di Puteri Harbour di sini, hari ini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
DATUK Seri M Saravanan merasmikan Seminar Kepimpinan dan Pengurusan Kuil Hindu Era Kecemerlangan yang diadakan di Puteri Harbour di sini, hari ini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Izz Laily Hussein

Iskandar Puteri: Portal khas bagi menghimpunkan data kuil Hindu di seluruh negara termasuk status tanah, pengasas dan tahun ia dibina akan dilancarkan 15 Oktober depan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan bertujuan untuk menyelesaikan sebarang isu berbangkit yang membabitkan rumah ibadat penganut agama berkenaan.

Menurutnya, portal itu dibangunkan bagi membolehkan kuil di seluruh negara membuktikan kesahihan operasi mereka sekali gus mengurangkan pertikaian yang selalu wujud membabitkan pembinaan sesebuah kuil di negara ini.

"Melalui portal itu, orang ramai boleh melihat usia kuil berkenaan, siapa yang menguruskan dan sama ada ia dibina atas tanah milik persendirian, swasta mahupun kerajaan.

"Inisiatif ini secara tidak langsung dapat mengelak berlaku sebarang pertikaian dengan pembinaan sesuatu kuil itu dijadikan bahan politik pihak tidak bertanggungjawab. Ini kerana soal rumah ibadat dan agama adalah sensitif buat semua kaum," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Seminar Kepimpinan dan Pengurusan Kuil Hindu Era Kecemerlangan yang diadakan di Puteri Harbour di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar.

Menurut Saravanan, kewujudan portal berkenaan juga akan berupaya meningkatkan keberkesanan penyaluran peruntukan kerajaan kepada kuil-kuil di seluruh negara selain memastikan rumah ibadat ini tidak menimbulkan masalah.

"Kita melihat ada juga rumah ibadat yang tidak mempunyai akaun dan menyukarkan kerajaan salurkan peruntukan.

"Kita juga mahu kaji semula kedudukan rumah-rumah ibadat di negara kita kerana kita hidup dalam pelbagai kaum, maka perlu teliti dan perhalusi soal rumah ibadat supaya tidak menghadapi masalah pada masa akan datang," katanya.

Mengulas mengenai seminar yang diadakan, terdapat tiga pendekatan penting yang diperhalusi dalam seminar berkenaan dan akan dibincangkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

"Terdapat tiga pendekatan yang dibincangkan hari ini iaitu mengenai isu kedudukan kuil, penyelesaian terhadap kedudukan tanah bagi pembinaan kuil selain pengajian agama Hindu di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Tamil peringkat rendah dan menengah," jelasnya.

Untuk rekod, portal myhindutemple.gov.my mengambil masa enam bulan untuk dibangunkan dan dijangka dilancarkan pada 15 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 8:31 PM