JACK Lee (kiri) menyampaikan tajaan kepada pendaki Antartika T. Ravichandran dan Rizal Khalid pada Fun Run GoHyper Spalsh Dash di Maeps. FOTO Saifullizan Tamadi
JACK Lee (kiri) menyampaikan tajaan kepada pendaki Antartika T. Ravichandran dan Rizal Khalid pada Fun Run GoHyper Spalsh Dash di Maeps. FOTO Saifullizan Tamadi
Raja Noraina Raja Rahim

Serdang: Biarpun berlainan agama dan bangsa, namun tiga penjelajah negara tidak menjadikannya halangan untuk bersama-sama menjayakan Projek Antartika, pada November tahun depan.

Misi itu disahut pasukan #KeluargaMalaysia iaitu pendaki solo negara, T Ravichandran, Mohd Khairizal Mohd Khalif dan Ng Wei Siang yang akan menjadi trio berbilang bangsa pertama menjelajah Kutub Selatan dan mendaki Gunung Vinson Massif.

Ravichandran, 57, berkata mereka akan menjelajah Kutub Selatan menggunakan ski sejauh 1,000 kilometer yang akan mengambil masa 60 hari dan diteruskan dengan menawan puncak Gunung Vinson Massif setinggi 4,800 meter yang menjadi antara tujuh puncak tertinggi di benua dunia.

"Perancangan sudah dibuat sejak dua tahun lalu. Kami menganggarkan kedua-dua projek itu akan mengambil masa selama 75 hari dan penjelajahan terbabit bakal menjadi destinasi yang mampu mencabar kemampuan kami.

"Pada masa sama, ekspedisi kami itu juga akan memfokuskan kepada kesan pemanasan global dan perubahan iklim. Pengalaman saya menawan Everest sebelum ini turut melihat impak pemanasan global yang amat membimbangkan.

"Sepanjang penjelajahan itu, kami akan mendapatkan sampel untuk melengkapkan kajian pemanasan global terhadap Antartika," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harian Metro selepas acara larian #GoHyper Splash Dash di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Khairizal atau lebih dikenali Abang Polar, 47, berkata kesan pemanasan global terhadap dunia ketika ini perlu dipandang serius semua pihak.

"Dunia ini bukan hanya warisan daripada nenek moyang, sebaliknya kita yang bertanggungjawab mewariskan dunia ini kepada generasi akan datang.

"Ekspedisi kami nanti akan dirakam supaya semua orang boleh tengok situasi yang kami lalui di sana (Antartika) nanti. Bagaimana kami sebagai Keluarga Malaysia bersatu untuk mengharungi cabaran selama 75 hari itu," katanya.

Katanya, penjelajahannya bersama Ravichandran yang lebih mesra dipanggil Ravi Everest serta Ng itu membuktikan semua kaum di Malaysia boleh bersatu.

Beliau berkata, selain berlainan agama mereka juga berlainan negeri kelahiran iaitu beliau berasal dari Ipoh, Perak manakala Ravi dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan serta Ng dari Muar, Johor.

Beliau berharap ekspedisi mereka yang menelan kos mencecah RM2 juta itu akan mendapat sokongan dan tajaan daripada pelbagai pihak termasuk syarikat korporat bagi memastikan misi tercapai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 2:15 PM