Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Tiada lagi kewajipan memakai pelitup muka oleh pelajar di kawasan sekolah disambut baik oleh ibu bapa.

Malah tinjauan yang dibuat di dua sekolah yang terletak berhampiran iaitu SK Wakaf Bharu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu, Tumpat, dekat sini mendapati majoriti murid serta pelajar sudah tidak memakai pelitup muka.

Bagaimanapun masih ada dalam kalangan mereka tetap mengenakannya walaupun sudah berada di luar kawasan sekolah dan memasuki kenderaan ibu bapa.

Siti Roszaihuda Roslan, 37, ketika ditemui di sini, berkata tiga anaknya termasuk sepasang kembar yang bersekolah di SK Wakaf Bharu berkata anaknya tidak lagi mengenakan pelitup muka sebaik mula kembali ke sekolah hari ini.

"Tiga anak yang berusia sembilan dan 12 tahun sebelum ini memang memakai pelitup muka dan sudah terbiasa sehingga sekarang jika berada dalam kawasan sekolah.

"Walaupun selepas ini sudah tidak diwajibkan, saya akan tetap menggalakkan mereka mengenakan pelitup muka terutama jika ada rakan mereka bergejala atau diri sendiri tidak sihat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

TINJAUAN di SK Wakaf Bharu mendapati majoriti murid sudah tidak memakai pelitup muka bagaimanapun masih ada dalam kalangan mereka tetap mengenakannya walaupun sudah berada di luar kawasan sekolah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TINJAUAN di SK Wakaf Bharu mendapati majoriti murid sudah tidak memakai pelitup muka bagaimanapun masih ada dalam kalangan mereka tetap mengenakannya walaupun sudah berada di luar kawasan sekolah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Bagi Siti Rohaida Idris, 37, pula berkata, pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin sangat dialu-alukan kerana penularan wabak Covid-19 semakin berkurangan malah orang ramai juga sudah tahu bila keperluan untuk memakai pelitup muka.

"Anak saya (Nur Aina Mierza Mohd Khairy, 16) juga tiada masalah jika masih perlu memakai pelitup muka di sekolah kerana sudah terbiasa sejak hampir dua tahun dalam pandemik Covid-19.

"Keadaan sekarang sudah semakin terkawal dan pengumuman yang dibuat oleh menteri (pendidikan) satu tindakan yang tepat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 3:52 PM