ZURINA Kassim. FOTO arkib NSTP
ZURINA Kassim. FOTO arkib NSTP
Amir Mamat


Melaka: Isteri kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob iaitu Toh Puan Zurina Kassim, 78, meninggal dunia di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, 10.10 pagi hari ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia Tan Sri Syed Daniel Syed Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan, majlis penghormatan terakhir dijangka diadakan di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, 3.30 petang ini.

Upacara pengebumian pula akan diadakan di Makam Pahlawan, Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini selepas solat Asar, hari ini.

Zurina dilahirkan di Duyong, Melaka pada 13 Julai 1944.

Allahyarham mendirikan rumah tangga dengan Mohd Khalil pada 28 Februari 1965 dan dikurniakan tiga anak.

Allahyarham mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru sebelum bersekolah di Sekolah Perempuan Methodist Kuala Lumpur.

Beliau kemudiannya ke luar negara selama 13 tahun bersama suami yang dilantik sebagai diplomat.

Ketika Mohd Khalil dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka, Allahyarham turut memainkan peranan dalam aspek kebajikan, termasuk menubuhkan Yayasan Toh Puan Zurina di Pantai Peringgit, di sini untuk membantu pesakit buah pinggang menjalani rawatan susulan hemodialisis pada November 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 3:00 PM