Dr Noor Hisham.
Dr Noor Hisham.
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Bilangan kes baharu Covid-19 menunjukkan penurunan sebanyak 6.6 peratus atau daripada 28,554 kes kepada 26,678 kes sepanjang tempoh bermula 7 Ogos hingga Sabtu lalu (Minggu Epidemiologi 32/2022).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia sekali gus menurunkan bilangan kes baharu bagi penularan tempatan sebanyak 6.5 peratus iaitu daripada 28,499 kes pada minggu sebelumnya kepada 26,656 kes pada ME 32/2022.

"Bilangan kes import turut menunjukkan penurunan sebanyak 60 peratus iaitu daripada 55 kes dicatatkan pada minggu sebelumnya kepada 22 kes minggu ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata, beberapa indikator berkaitan Covid-19 menunjukkan sedikit peningkatan termasuk jumlah kemasukan pesakit ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk.

Beliau berkata, bagi pesakit kategori satu dan dua, jumlah kemasukan pesakit meningkat sebanyak 5.3 peratus, manakala kemasukan pesakit kategori tiga hingga lima turut meningkat sebanyak 11.4 peratus.

Katanya, penggunaan katil bukan kritikal pula meningkat sebanyak satu peratus, katil di unit rawatan rapi (ICU) juga meningkat dua peratus serta katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 meningkat satu peratus.

"Peratusan pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan meningkat 0.3 peratus pada ME 32/2022 berbanding minggu sebelumnya," katanya.

Tambahnya, kes positif Covid-19 yang dipantau di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara turut meningkat.

"Jumlah kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 3.9 peratus (13,238 kes kepada 13,757 kes); bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat sebanyak 2.1 peratus (7,369 kes kepada 7,523) dan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke hospital meningkat sebanyak 66.4 peratus (220 kes kepada 366 kes).

"Untuk trend kes aktif harian Covid-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya), pada akhir ME 32/2022 ianya turun 5.5 peratus berbanding pada akhir ME 31/2022 (dari 66,182 kes kepada 62,516 kes)," katanya.

Katanya, bagi bilangan kes sembuh pada ME 32/2022, Dr Noor Hisham berkata, ia meningkat 1.1 peratus iaitu daripada 28,604 kes kepada 28,905 kes.

"Bilangan kes kematian pada ME 32/2022 statik sebanyak 60 kes manakala purata kes aktif setiap hari bagi minggu berkenaan adalah 44,706 iaitu terdapat penurunan sebanyak 2.7 peratus berbanding minggu sebelumnya," katanya.

Dr Noor Hisham memaklumkan, sehingga ME 32/2022, hasil survelan Covid-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati sebanyak 143 sampel adalah kalangan pesakit Influenza (ILI).

"Bagaimanapun, tiada sampel Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dikesan positif Covid-19 dengan kadar positif kekal sifar peratus pada ME 32/2022," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 1:01 PM