Gambar hiasan
Gambar hiasan
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Sebanyak 4,334 kes baharu Covid-19 dilapor semalam menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan akibat pandemik itu adalah 4,732,502 kes.

Daripada rekod harian itu, 4,328 kes adalah penularan tempatan manakala enam lagi kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Setakat ini, terdapat 44,617 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 dalam negara, dengan 96.2 peratus atau 42,926 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Selain itu, sejumlah 1,595 kes (3.6 peratus) dirawat di hospital, 28 kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 dan 68 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 44 pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kadar penggunaan ICU seluruh negara berada pada tahap 58.5 peratus dan kes Covid-19 merangkumi 18.2 peratus daripadanya.

Sehingga semalam juga, 5,082 kes sembuh yang menambah kepada jumlah keseluruhan 4,651,805 kes.

Bagi angka korban akibat pandemik, sebanyak 10 kematian baharu dilaporkan dan satu meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan (BID).

Malaysia kini merekod angka kematian akibat Covid-19 berjumlah 36,080 kes dan 7,669 daripadanya meninggal dunia sebelum menerima bantuan perubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 9:12 AM