NAJIB (kanan) dan Arul Kanda. FOTO Arkib NSTP
NAJIB (kanan) dan Arul Kanda. FOTO Arkib NSTP
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, diberitahu Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy meminda Laporan Pengauditan 1MDB untuk melindungi mereka daripada tindakan sivil atau jenayah berkaitan perjalanan operasi syarikat itu.

Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya Haniff Lami, 34, berkata, Najib menggunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu untuk mengarahkan supaya laporan berkenaan dipinda.

Saksi pendakwaan ke-16 itu berkata, arahan berkenaan sebelum laporan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 24 Februari 2016, manakala Arul Kanda didapati bersubahat dengan Najib dalam kes terbabit.

"Tertuduh kedua (Najib) dalam kes ini mengarahkan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Tan Sri Shukry Mohd Salleh untuk mendapatkan laporan terbabit dan menyerahkan salinan laporan kepada tertuduh pertama (Arul Kanda) untuk disemak.

"Tertuduh kedua kemudian mengarahkan supaya satu pertemuan dibuat di pejabatnya di Putrajaya pada 22 Februari 2016 yang mana ia turut dihadiri Tan Sri Ambrin Buang (bekas Ketua Audit Negara) dan Tan Sri Ali Hamsa (bekas Ketua Setiausaha Negara).

"Dalam pertemuan itu, tertuduh kedua mengarahkan Ali untuk mengadakan mesyuarat penyelarasan antara Jabatan Audit Negara (JAN) dan bekas Perdana Menteri itu bagi membincangkan perkara yang beliau (Najib) tidak berpuas hati dengan laporan dikeluarkan JAN dan untuk laporan itu tidak dicetak hingga mendapat kebenarannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membaca penyataan saksi di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Pasukan pendakwaan diwakili Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Mohamad Mustafa P Kunyalam, manakala Najib dan Arul Kanda masing-masing diwakili peguam Rahmat Hazlan dan Datuk N Sivananthan.

Pada 12 Disember 2018, Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan, bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Haniff berkata, satu mesyuarat diadakan oleh Ali pada 24 Februari 2016 yang turut dihadiri Arul Kanda, susulan arahan daripada Najib dan hasilnya terdapat pindaan dibuat terhadap laporan membabitkan empat perkara.

Beliau berkata, perkara pertama ialah dua versi penyata kewangan 1MDB berbeza bagi 2014 disusuli perjanjian Country Groups Securities Thailand dengan ACME Time Limited (ACME).

"Dua lagi perkara ialah isu kehadiran Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho) dan isu penangguhan penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN).

"Susulan mesyuarat itu, Laporan Pengauditan 1MDB dibentangkan di hadapan PAC pada 4 dan 7 Mac 2016 adalah laporan dipinda susulan arahan tertuduh kedua," katanya.

Ketika pemeriksaan balas oleh Rahmat pula, Haniff berkata, Najib dan Arul Kanda ditahan masing-masing pada 10 dan 11 Disember 2018 dan mereka dirakam keterangan pada hari tangkapan.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam terbabit bahawa versi keterangan tertuduh perlu disiasat secara mendalam bagi menegakkan keadilan.

Rahmat: Saya katakan izin pertuduhan mereka sebelum tangkapan dan rakaman percakapan Arul Kanda?

Haniff: Benar.

Rahmat: Macam mana nak siasat jika arahan tuduh sebelum rakam percakapan?

Haniff: Siasatan sudah dibuat secara menyeluruh.

Rahmat: Siasatan menyeluruh tanpa merakam kenyataan?

Haniff: Najib ada dirakam keterangan sebagai saksi pada 6 Disember 2018.

Rahmat: Empat hari siasatan versi Najib?

Haniff: Betul.

Rahmat kemudian mendakwa bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas mengeluarkan arahan pertuduhan sebelum satu siasatan lengkap dan adil diberikan kepada Najib, namun ia tidak dipersetujui saksi itu.

Perbicaraan bersambung 18 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 12:19 PM