SUASANA di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu hari ini. FOTO TANGKAP LAYAR VIDEO NIK ABDULLAH NIK OMAR
SUASANA di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu hari ini. FOTO TANGKAP LAYAR VIDEO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kumpulan penyokong Perak diiring polis pulang menaiki bas dan van sejurus berlaku kekecohan selepas perlawanan antara Kelantan FC dan Perak FC petang tadi.

Pemain kedua-dua pasukan itu juga selamat diiringi keluar dari Stadium Sultan Muhammad IV ke penginapan masing masing.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kekecohan berkenaan dipercayai berpunca daripada provokasi antara penyokong kedua pasukan terbabit.

"Bagaimanapun tiada pergaduhan dan kecederaan berlaku dalam kejadian kira-kira jam 7.10 malam tadi.

"Berikutan kejadian itu, polis membawa kumpulan penyokong Perak ke perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan sebelum diiringi pulang menaiki tiga bas dan dua van.

"Manakala kedua-dua pemain pasukan Kelantan FC dan Perak selamat diiringi keluar dari stadium ke penginapan masing masing," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Dalam perlawanan Liga Perdana dengan keputusan Kelantan FC tewas 1-2 di tangan Perak petang tadi, penyokong The Red Warriors dilihat 'mengamuk' dan menerusi beberapa klip video yang tular di laman media sosial, penyokong Perak FC diarahkan masuk ke dalam padang dan tidak dibenarkan keluar dari stadium selepas wisel penamat dibunyikan.

Bukan setakat penyokong tetapi pemain juga dikatakan terpaksa 'berlindung' di tengah stadium bagi mengelak daripada perkara yang tidak diingini tercetus.

Sebuah bas yang dikatakan dinaiki pemain Perak FC turut dibaling dengan objek seperti botol air dan batu oleh kelompok penyokong dipercayai penyokong Kelantan FC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 11:29 PM