Stadium Shah Alam. FOTO NSTP.
Stadium Shah Alam. FOTO NSTP.
BERNAMA

Kuala Selangor: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari tidak menafikan adanya cadangan untuk merobohkan Stadium Shah Alam.

Bagaimanapun, Amirudin, berkata pihaknya akan menjelaskan secara terperinci mengenai cadangan pembangunan terbaharu stadium tersebut pada 16 Julai ini.

"Ia (meruntuhkan stadium) merupakan satu pilihan sejak dari awal lagi. Kita akan jelaskan kemungkinan pada 16 Julai bersempena hari pembukaan Stadium Shah Alam.

"Sekarang masih pramatang, tidak elok untuk saya huraikan sebab ia melibatkan perbincangan dengan banyak pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Utama Kuala Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata, stadium itu mempunyai pelbagai masalah antaranya bumbung, sistem perpaipan dan padang.

"Sebenarnya pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) beri status kurang selamat (kepada Stadium Shah Alam) kerana bumbung stadium yang terbang.

"Jadi kita bincang dengan FAM bagaimana nak buat, jika kita baiki dengan segera, kita hanya betulkan bumbung tetapi yang lain akan kekal masalah. Kita tidak mahu ia seperti itu," katanya.

Amirudin berkata, cadangan pembangunan stadium itu akan mengambil masa sekurang-kurang dua tahun selain dijangka siap seiring dengan pembinaan Aliran Transit Ringan (LRT) 3 di jajaran berdekatan.

"Sudah pasti kita tidak mahu ketinggalan dari sudut teknologi, kalau kita mahu buat, kita buat bagi sempurna selain, cadangan pembangunan ini telah dinilai oleh kumpulan profesional secara teknikal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 6:30 PM