MOHD Zubil menunjukkan alat ‘Personal Locator Beacon’ (PLB). FOTO Ahmad Hasbi
MOHD Zubil menunjukkan alat ‘Personal Locator Beacon’ (PLB). FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi

Nilai: Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) akan mencadangkan kepada agensi berkaitan bagi mewajibkan nelayan atau pengusaha bot memiliki alat 'Personal Locator Beacon' (PLB) bagi memudahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di laut.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, hampir setiap tahun pihaknya mempromosi dan menggalakkan golongan itu supaya memiliki alat berkenaan, namun hanya lima peratus sahaja yang memilikinya.

"Saya akan membawa perkara ini kepada agensi yang berkaitan seperti Jabatan Laut, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan. Mana-mana individu yang mahu mendapatkan permit diwajibkan memiliki alat ini.

"Alat ini amat penting untuk mengetahui kedudukan mangsa sekiranya mereka menekan butang merah yang ada pada PLB dan isyarat akan dihantar ke markas kami di Kuantan," katanya pada sidang media selepas Hari Bersama Media di Lapang Sasar Mantin, di sini, semalam.

Beliau berkata, alat berkenaan boleh dibeli secara atas talian dengan harga paling mahal sekitar RM1,500, namun perlu mendapatkan PLB yang berkod mengikut negara Malaysia iaitu 533 dan mempunyai kuasa 406 megahertz.

"Pemancing boleh membeli alat memancing sehingga harga ribuan ringgit, namun memandang remeh untuk memiliki alat (PLB) ini yang boleh menyelamatkan nyawa mereka.

"Kerajaan terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk operasi SAR sekiranya tidak mengetahui lokasi sebenar mangsa. Bahan api helikopter sahaja sudah mencecah kos RM15,000 sejam.

"Dalam ops SAR di Kuala Besut baru-baru ini, piahak berkuasa mengambil masa 48 jam. Bayangkan kos yang terpaksa dikeluarkan kerajaan untuk satu Ops SAR yang membabitkan pelbagai aset.

"Jika nelayan atau pemancing yang mengalami masalah di laut, alat (PLB) ini mampu mempercepatkan operasi mencari dan kami hanya perlu menumpukan kepada penyelamatan sahaja," katanya.

Katanya, alat berkenaan perlu didaftarkan secara percuma di laman sesawang APMM kerana semua maklumat seperti jenis bot, nombor telefon dan nama pemiliknya direkodkan supaya mudah dikesan jika berlaku musibah di laut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 5:44 PM