GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kajang: Seorang pengedar dadah bertindak berani melanggar kereta unit peronda polis (MPV) dan kereta orang awam untuk melarikan diri dalam kejadian di tepi jalan Taman Ikhlas, Bandar Sungai Long hari ini.

Namun cubaannya itu gagal selepas polis berjaya menahannya di Lebuh Raya Grand Saga berhampiran susur keluar Balakong/Sungai Long, di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek berusia 23 tahun itu cuba melarikan diri dengan memandu sebuah kereta Nissan Almera semasa pemeriksaan hendak dijalankan di tepi jalan Taman Ikhlas itu.

Menurutnya, kereta yang dipandu oleh suspek melanggar kereta peronda polis dan kereta orang awam sebelum berjaya ditahan di Lebuh Raya Grand Saga berhampiran susur keluar Balakong/Sungai Long.

"Hasil pemeriksaan polis merampas bahan disyaki dadah jenis Heroin dan Methamphetamine.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan jika disabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, hasil ujian saringan awal polis juga mendapati saspek positif dadah jenis THC dan mempunyai rekod lampau bersabit dengan kes dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 11:34 PM