LAPORAN Harian Metro hari ini
LAPORAN Harian Metro hari ini
Muhaamad Hafis Nawawi


Sungai Buloh: Siasatan awal polis mendapati kemalangan menyebabkan seorang lelaki maut dan enam murid Darjah Satu Sekolah Kebangsaan Saujana Utama cedera berlaku selepas kenderaan dipandu mangsa dilanggar di bahagian sisi kanan oleh sebuah lagi kereta yang keluar dari simpang Saujana Perdana 6.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, pemandu kereta Proton Exora, Muhamad Zaki Ariffin, 52, membawa enam penumpang kanak-kanak berusia tujuh tahun sementara kereta Perodua Aruz dipandu seorang wanita, 28, dan penumpang wanita, 53.

Menurutnya, kejadian berlaku pada pada jam 1.05 tengah hari di mana siasatan awal mendapati mangsa yang bergerak lurus di Persiaran Saujana 4 dilanggar di bahagian sisi kanan oleh pemandu wanita yang keluar dari simpang Saujana Perdana 6.

"Akibat pelanggaran itu, kereta terbabit berpusing dan terbalik ke kanan di bahu jalan.

"Mangsa yang parah meninggal dunia di tempat kejadian manakala enam penumpang kanak-kanak itu mengalami kecederaan ringan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shafa'aton berkata, pemandu wanita yang bekerja sebagai penghantar dan penumpang wanita mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Sungai Buloh.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Portal Harian Metro hari ini melaporkan lelaki maut, manakala enam murid Darjah Satu Sekolah Kebangsaan Saujana Utama cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Saujana Utama, di sini, hari ini.

Berita berkaitan:

  • Lelaki maut, enam murid sekolah cedera
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 8:50 PM