GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Kerajaan Johor masih belum membuat keputusan mengenai pelaksanaan cuti hujung minggu negeri ini yang ketika ini ditetapkan pada Jumaat dan Sabtu.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata sebarang keputusan tidak boleh dibuat secara melulu kerana perkara itu masih lagi dalam kajian.

Katanya, ketika ini kajian sama ada cuti hujung minggu Johor perlu diubah kepada Sabtu dan Ahad masih dilaksanakan membabitkan pelbagai pemegang taruh selain perlu mendapat perkenaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

"Penyelarasan cuti hujung minggu Johor hebat dibicarakan malah menjadi buah mulut kerana ramai ibu bapa yang bekerja di sektor swasta hanya dapat meluangkan masa selama satu hari sahaja dengan anak-anak mereka.

"Hal ini disebabkan perbezaan hari cuti hujung minggu sejak 2014. Penyelarasan perlu dibuat supaya ibu bapa boleh meluangkan lebih masa bersama keluarga tercinta," katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan sidang Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di sini, hari ini.

Pada 14 Jun lalu, kerajaan Johor dilaporkan akan mengkaji semula cuti hujung minggu Jumaat dan Sabtu di negeri ini berikutan banyak keluhan disuarakan rakyat negeri ini.

Dalam pada itu, Onn Hafiz yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, berkata setiap pandangan berhubung pelarasan cuti minggu di Johor diterima dengan baik dan akan diteliti.

"Pelbagai cadangan diberikan, ada yang mahu ia kekal hari Jumaat dan Sabtu supaya mudah pergi solat. Ada yang mahu ia diubah ke Sabtu dan Ahad supaya selari dengan kerajaan Persekutuan.

"Ada juga yang mahu masa rehat hari jumaat yang lebih panjang, ada juga yang mahu cuti dua hari setengah malah ada yang mahu cuti tiga hari seminggu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 2:19 PM