Polis merampas tukul besi, pisau dan alat pemadam api yang dipercayai digunakan seorang lelaki dalam kejadian pergaduhan di sebuah premis di Jalan Damansara Utama, Petaling Jaya, semalam. FOTO IHSAN POLIS
Polis merampas tukul besi, pisau dan alat pemadam api yang dipercayai digunakan seorang lelaki dalam kejadian pergaduhan di sebuah premis di Jalan Damansara Utama, Petaling Jaya, semalam. FOTO IHSAN POLIS
Raja Noraina Raja Rahim

Petaling Jaya: Angkara berebut parkir, dua lelaki cedera diserang tiga beranak di hadapan sebuah premis di Jalan 21/1A, Damansara Utama, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.10 tengah hari, lelaki berusia 26 tahun yang juga pemilik premis berkenaan bersama rakannya cedera ringan di tangan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa diserang dua lelaki dan seorang wanita tempatan.

"Kejadian berlaku apabila pengadu meletakkan kereta Toyota Vios di lot parkir hadapan kedainya dan tiba-tiba seorang lelaki menjerit memanggilnya serta turun dari kedai lalu berlaku pertengkaran mulut antara mereka.

"Isteri lelaki itu kemudian memarahi dan membaling telur ke arah mangsa serta rakannya. Selepas itu, datang pula anak lelaki pasangan terbabit memarahi mangsa dan rakannya sambil memegang tukul besi serta mengugut untuk merosakkan kereta mangsa.

"Berlaku pergelutan antara kelima-lima individu menyebabkan mangsa dan rakan mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, ketika pergelutan berlaku, anak pasangan terbabit yang berusia 31 tahun turut memegang pisau pemotong daging dan alat pemadam api.

Susulan laporan diterima, beliau berkata, polis menahan lelaki itu pada jam 4.30 petang.

Menurutnya, siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan perebutan lot parkir.

"Polis turut merampas tukul besi, pisau dan alat pemadam api yang dipercayai digunakan semasa kejadian," katanya.

Menurutnya, polis mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 12:18 PM