PICKIDS. FOTO NSTP.
PICKIDS. FOTO NSTP.
BERNAMA

Putrajaya: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) akan dibuka selama lima hari mulai esok sehingga 24 Jun untuk pemberian vaksin kepada kanak-kanak yang berusia lima hingga 11 tahun.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pembukaan program vaksinasi itu adalah bersempena Minggu Imunisasi Peringkat Kebangsaan 2022 yang disambut pada 16 Jun lalu, bertemakan "Perlindungan Sepanjang Hayat untuk Semua".

"Pembukaan vaskinasi ini adalah bagi meraikan ibu bapa yang kini berhasrat mendapatkan vaksin Covid-19 bagi anak-anak yang terlepas peluang sebelum ini dan keprihatinan Kementerian Kesihatan (KKM) atas keselamatan kanak-kanak daripada penyakit cegahan vaksin," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, ibu bapa yang berhasrat mendapatkan vaksinasi itu boleh mendapatkan vaksinasi tanpa janji temu di klinik kesihatan di bawah KKM bermula esok hingga Jumaat.

Beliau berkata, pemberian vaksin itu adalah berdasarkan kepada stok vaksin di sesebuah fasiliti pada hari berkenaan dan sekiranya stok untuk hari tersebut habis, ibu bapa boleh membawa anak mereka pada keesokan harinya.

Dr Noor Azmi berkata, ibu bapa yang baru mengetahui mengenai vaksinasi Covid-19 atau baru membuat keputusan membenarkan anak divaksinasi digalakkan mengambil peluang.

Beliau berkata, bagi kanak-kanak yang akan mencapai usia lima tahun, ibu bapa masih boleh membuat tempahan janji temu vaksinasi mengikut tarikh dan tempat vaksinasi pilihan melalui aplikasi MySejahtera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 8:22 PM