Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Penyelaras Kepenggunaan Parlimen (PKP) yang dilantik di 222 kawasan parlimen di seluruh negara berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan dalam isu berkaitan kepenggunaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, PKP yang diwujudkan kerajaan pada 2019 bertujuan membantu kementerian berhubung dengan pengguna di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, PKP berperanan sebagai medium untuk mengumpul dan menyebarkan maklumat secara terus, cepat dan cekap kepada pengguna.

Katanya, setakat hari ini, seramai 107 PKP sudah dilantik di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak manakala selebihnya masih dalam proses lantikan.

"Nama-nama mereka ini diberi oleh Ahli Parlimen masing-masing dan mereka ini diberi tanggungjawab sebagai PKP untuk tempoh setahun.

"Selain itu, kita menyeru pemimpin di kawasan parlimen yang belum menamakan calon PKP di kawasan mereka untuk segera berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pemukiman Hala Tuju Penyelaras Kepenggunaan Parlimen (PKP) Semenanjung Malaysia Tahun 2022 dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Rosol berkata, sebanyak 8,260 aduan membabitkan isu kepenggunaan diterima dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, aduan berkaitan transaksi dalam talian merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 2,652 kes.

"Ia diikuti 1,871 aduan mengenai harga dan 1,812 aduan mengenai perkhidmatan mengelirukan.

"Berdasarkan laporan itu, kita harus berusaha membantu melengkapkan pengguna dengan ilmu-ilmu kepenggunaan digital supaya mereka tidak mangsa penipuan, jenayah 'scam' dan sebagainya," katanya.

ROSOL Wahid (tiga kanan)  beramah mesra bersama  Penyelaras Kepenggunaan Parlimen (PKP) yang dilantik di 222 kawasan parlimen di seluruh negara. FOTO Ghazali Kori.
ROSOL Wahid (tiga kanan) beramah mesra bersama Penyelaras Kepenggunaan Parlimen (PKP) yang dilantik di 222 kawasan parlimen di seluruh negara. FOTO Ghazali Kori.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 9:52 AM