RAYMOND Ho (tengah) menyampaikan sumbangan kepada keluarga Lidya (kiri) di Kampung Galang, Pos Hau. FOTO Paya Linda Yahya
RAYMOND Ho (tengah) menyampaikan sumbangan kepada keluarga Lidya (kiri) di Kampung Galang, Pos Hau. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Mangsa kebakaran di Kampung Galang, Pos Hau, dekat sini, berharap ada pihak tampil membantu membina rumah untuk keluarga mereka yang kini menumpang berteduh di rumah saudara.

Lidya Rahman, 25, berkata dia bersama 10 ahli keluarga kini terpaksa menumpang di rumah saudara terdekat yang tinggal berhampiran.

Menurutnya, dia juga tidak pasti sampai bila akan menumpang di rumah saudara dalam keadaan bersesak-sesak.

"Kami sekarang tinggal 20 orang dalam sebuah rumah, keadaan ini memang tidak selesa, tapi apa lagi pilihan yang kami ada selepas rumah hangus terbakar.

"Maka kami sangat berharap ada pihak yang prihatin dengan keadaan kami yang kini tiada rumah dan sudi membantu menyediakan rumah," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Terdahulu, Lidya menerima sumbangan barangan keperluan harian daripada Kelab Lion Gua Musang dan Persatuan Cakna Kasih Gua Musang.

Hadir sama, Pengerusi Region Kelab Lion International District 308B, Raymond Ho dan Pengerusi Persatuan Cakna Kasih Gua Musang, Siti Nor Azila Zulkifle.

Sementara itu, Raymond berkata, pihaknya tampil menghulurkan bantuan makanan dan keperluan asas seperti tilam dan bantal bagi meringankan beban mereka.

"Kami mengambil inisiatif bersama Persatuan Cakna Kasih Gua Musang menghulurkan bantuan kepada mereka walaupun terpaksa mengharungi perjalanan yang sukar," katanya.

Kejadian yang berlaku pada Ahad lalu mengakibatkan 27 mangsa tinggal sehelai sepinggang apabila tiga rumah musnah terbakar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 4:50 PM