FOTO hiasan. Reuters
FOTO hiasan. Reuters
Rafidah Mat Ruzki


Sepang: Sidang Kemuncak Ulama Islam 2022 mengesyorkan supaya fatwa yang dibuat segelintir tokoh ulama mengharamkan umat Islam melawat masjid Al-Aqsa kerana Baitulmaqdis berada bawah jajahan Israel, dikaji semula.

Pengerusi Jawatankuasa sidang, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata ia bagi membantu umat Islam di kawasan berkenaan dapat menggerakkan ekonomi setempat.

Beliau berkata, ia berikutan ketika ini kediaman dan pusat ekonomi rakyat Palestin di kawasan berkenaan diroboh dan dimusnahkan sehingga menjejaskan kehidupan mereka.

"Kita juga mengajak untuk menyemak kembali fatwa yang tidak menggalakkan umat Islam datang ke bumi Al-Aqsa atas alasan ia satu pengiktirafan diplomatik terhadap penjajahan Zionis.

"Dengan perkembangan semasa ketika umat Islam di Al-Aqsa memerlukan sokongan dunia, kita mengajak untuk dikaji semula fatwa itu berdasarkan kepada kepada perubahan dan keadaan semasa," katanya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam bersama Perdana Menteri Malaysia di Sidang Kemuncak Ulama Islam 2022, di sini, malam ini.

Syor itu adalah antara 24 resolusi yang dicapai pada sidang kemuncak selama tiga hari yang berakhir hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, kajian terhadap fatwa yang dikeluarkan selepas Baitulmaqdis jatuh bawah penjajahan Zionis itu, akan dibuat oleh ahli alim ulama berdasarkan kaedah fekah yang masyhur.

Beliau berkata, ia supaya satu keputusan terkini berkaitan hukum atau peraturan mengenai menziarahi bumi Al-Aqsa dapat dicapai.

Katanya, rakyat Palestin yang berada di wilayah berkenaan berdepan tekanan ekonomi sangat besar dan memerlukan sokongan umat Islam.

Justeru, beliau berkata, jika umat Islam boleh ke tanah suci itu ia akan dapat membantu mengembangkan ekonomi mereka.

Selain melihat kepada fatwa berkenaan, Mohd Khairuddin berkata, sidang kemuncak itu juga mengesyorkan supaya satu ensiklopedia berkaitan Palestin diwujudkan bagi menangkis usaha segelintir pihak menyebarkan maklumat salah berhubung Palestin dan perjuangannya rakyatnya.

"Perlu ada satu ensiklopedia yang disusun oleh alim ulama menggunakan kaedah ilmiah berdasarkan kepada sistem kajian seperti dilakukan di universiti untuk menjadi rujukan umat Islam," katanya.

Sidang kemuncak itu juga mengesyorkan supaya satu jawatankuasa tertinggi untuk membincangkan isu Palestin bawah naungan Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang akan mengkaji pelbagai cara dan kaedah untuk membawa semua pihak berbeza ke satu meja perbincangan.

Mohd Khairuddin berkata, jawatankuasa itu yang akan beribu pejabat di Kuala Lumpur, akan ditubuhkan dalam masa terdekat dan bukan saja menggerakkan umat Islam malah resolusi yang dibuat pada sidang kemuncak.

Lebih 150 ulama dari 50 negara menghadiri Sidang Kemuncak yang bermula Jumaat lalu

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 10:31 PM