PUSAT hiburan di Jalan Alor, Kuala Lumpur, yang diserbu pihak polis, tengah malam tadi.
PUSAT hiburan di Jalan Alor, Kuala Lumpur, yang diserbu pihak polis, tengah malam tadi.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menahan tiga warga asing yang bekerja di pusat hiburan tanpa lesen di Jalan Alor, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya melakukan serbuan di premis berkenaan jam 12.30 tengah malam.

"Dalam serbuan itu, seramai 11 pengunjung warga tempatan terdiri daripada lima lelaki dan enam wanita berusia antara 20 hingga 35 tahun diperiksa.

"Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati semua pengunjung mematuhi protokol pengoperasian pub dan kelab malam berlesan fasa peralihan ke endemik 2022 dengan membuat ujian pengesanan Covid-19 sebelum memasuki premis.

"Kami menahan tiga individu warga asing membabitkan seorang pengurus dan dua pekerja atas kesalahan menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen dan tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Dellhan berkata, pihaknya turut merampas wang tunai RM500, empat mikrofon, dua pembesar suara, dua resit perniagaan dan satu buku catatan perniagaan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Pihak polis akan meningkatkan operasi serta pemeriksaan di premis hiburan dan membuat pemantauan ke atas aktiviti pusat hiburan yang tidak mematuhi undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 9:54 PM