MANGSA diberi rawatan awal oleh pasukan penyelamat. FOTO Ihsan Polis.
MANGSA diberi rawatan awal oleh pasukan penyelamat. FOTO Ihsan Polis.
Yusmizal Dolah Aling dan Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tiga pekerja cedera akibat litar pintas ketika menguji papan pengagihan elektrik di tapak pembinaan Pavilion Damansara Height di ibu negara hari ini.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, kontraktor bersama jurutera elektrik sedang melakukan ujian itu apabila berlakunya litar pintas serta kebakaran kecil.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisoner Amihizam Abdul Shukor berkata, sepasukan polis ke lokasi sebaik menerima maklumat, manakala pasukan daripada Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu memadam kebakaran.

"Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan. Unit Forensik dan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bersama Forensik JBPM turut hadir melakukan siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan

Sementara itu, Komander Operasi JBPM S Thirugaiyah berkata, 11 anggota bersama dua jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dan BBP Sri Hartamas hadir ke lokasi sejurus maklumat.

"Ketika anggota tiba, api sudah dipadamkan, namun tiga mangsa cedera dengan seorang melecur 80 peratus, manakala dua lagi 30 peratus dan sembilan peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 11:37 PM