DR Alfred John Prem Raj menunjukkan botol semburan Vaksin Covid-19. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
DR Alfred John Prem Raj menunjukkan botol semburan Vaksin Covid-19. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Hanya tempoh 20 saat untuk menghilangkan simptom Covid-19 untuk selepas satu sesi semburan.

Itu hasil vaksin NawsonVacc, vaksin yang dikatakan boleh menghilangkan simptom yang dialami pesakit Covid-19.

Vaksin berkenaan dibangunkan seorang doktor dari India, Dr Alfred John Prem Raj sejak dua tahun lalu.

Menurut Dr Alfred, vaksin berkenaan menggunakan bahan semula jadi homeopati yang diimport dari Jerman.

Katanya, setiap sesi, pesakit akan diberikan tujuh semburan pada tekak dan berupaya menghilangkan simptom Covid-19 seperti sakit tekak, hilang deria bau dan rasa serta sesak nafas.

Menurutnya, seramai 8,000 pesakit Covid-19 sudah menerima semburan ini dan pulih tanpa sebarang kesan sampingan.

"Ini ada perubatan alternatif yang boleh membantu mereka yang dijangkiti Covid-19 untuk mengurangkan simptom dalam tempoh singkat.

"Semburan homeopati ini boleh menjadi alternatif untuk merawat pesakit bergejala ringan dan sederhana selain mengurangkan kadar kemasukan di hospital.

"Mereka yang sudah disembur dengan vaksin ini juga mampu dilindungi selama enam bulan," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Yayasan Keusahawanan Sosial (YKS), Dr Ammar Hassan.

Sementara itu, Ammar berkata, YKS bekerjasama dengan Dr Alfred bagi memberikan alternatif perubatan merawat Covid-19 di negara ini.

Katanya, vaksin semburan ini dibangunkan di Malaysia dan ia peluang untuk dijadikan alternatif kepada masyarakat.

"Kami sudah menghantar surat permohonan semakan kelulusan kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 15 Mac lalu namun belum menerima sebarang respon.

"Malah 15 April lalu, kami turut menghantar surat semakan permohonan kepada Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Roshayati Mohamad Sani.

"Permohonan kebenaran ini diharap boleh disegerakan dan tiada masalah jika ia memerlukan ujian pengesahan bagi piawaian ditetapkan kerajaan sebelum dibenarkan untuk diberikan kepada masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 6:03 PM