RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO ihsan pembaca
RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO ihsan pembaca
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis sedang mengesan pemandu BMW putih yang membrek secara mengejut dan berhenti dengan sengaja sehingga mengganggu pengguna jalan raya di Kilometer 10 Lebuhraya Persekutuan dari arah Kuala Lumpur ke Klang.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, satu rakaman video dimuat naik di Facebook berhubung kejadian itu.

"Kejadian berlaku apabila pemandu BMW dengan nombor pendaftaran JSY 998 bertindak membrek secara mengejut beberapa kali dengan sengaja dan berhenti di lorong kiri sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.

"Setakat ini belum ada tangkapan dibuat, namun dengan bantuan polis Johor, kita berjaya kesan alamat pemilik kereta itu di Johor Bahru selatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan mendapati pemilik asal kenderaan sudah membuat laporan penafian memandu kereta terbabit dan memaklumkan menjual kereta itu pada Disember tahun lalu kepada ejen kereta terpakai.

"Polis juga sudah memperoleh bukti kereta itu dijual dan ejen kereta terpakai juga sudah dikesan.

"Setakat maklumat yang ada sehingga kini, pihak ejen didapati menjual kenderaan itu pada syarikat sewaan kereta.

"Esok ejen kereta terpakai ini akan hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk memberi keterangan dan dokumen urusan jual beli," katanya.

Beliau berkata, saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat BSPT IPD Shah Alam, Inspektor Mohd Zulkifli Razak di talian 019-4475767.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, tular di media sosial hantaran yang dimuat naik pada 16 Mei memaparkan sebuah kereta bertindak samseng di jalan raya dengan menekan brek secara mengejut untuk menahan sebuah lori di belakangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 11:57 AM