Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek
Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek
Hamzah Osman

Langkawi: Sebanyak 4,000 aduan berkaitan isu kualiti liputan selular diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak awal bulan lalu.

Pengerusi SKMM Datuk Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, angka itu berkurang 90 peratus berbanding ketika tempoh pendemik Covid-19 memuncak.

"SKMM terima 4,000 aduan (kualiti liputan selular) pada bulan lalu, namun jika diasaskan kepada jumlah 40 juta pelanggan jalur lebar, tidaklah banyak.

"Bagaimanapun, dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), aduan tinggi mencecah 30,000," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Jelajah Hari Bersama Pelanggan (JHBP) SKMM di Kompleks Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di sini, hari ini.

Dr Fadhlullah berkata, pihaknya mendapati trend aduan semakin berubah daripada berkaitan kawasan liputan kepada kualiti perkhidmatan disediakan syarikat telekomunikasi.

"Kalau dulu, pengguna guna Internet untuk hantar mesej saja, jadi satu atau dua megabit per saat (mbps) cukuplah.

"Tapi sekarang ramai guna aplikasi ada 'streaming' video jadi aduan berubah kepada berkaitan kualiti iaitu kelajuan Internet yang tidak memuaskan," katanya.

Menyentuh JHBP, beliau berkata, Langkawi menjadi lokasi pertama sebelum program sama dilaksanakan untuk 29 lokasi lain di seluruh negara.

"Setiap program yang disusun kita bawa pembekal perkhidmatan untuk bersemuka dengan pelanggan bagi mendapat input untuk menambah baik perkhidmatan dan menyelesaikan sebarang isu berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 5:15 PM