DATUK Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika menyampaikan duit raya pada Majlis Sambutan Hari Raya DUN Rhu Rendang di Dataran Pejabat Daerah Marang. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
DATUK Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika menyampaikan duit raya pada Majlis Sambutan Hari Raya DUN Rhu Rendang di Dataran Pejabat Daerah Marang. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Kerajaan negeri sedang mengatasi masalah gangguan bekalan air yang dialami penduduk di beberapa kawasan di Terengganu termasuk membina beberapa loji baharu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, masalah berkenaan sememangnya dalam perhatian kerajaan negeri dan pelbagai langkah proaktif diambil bagi mengatasi masalah berkenaan secara berperingkat.

"Gangguan air di Terengganu ini tidak sama keadaannya, ada yang (berlaku) bila air pasang, maka loji rawatan air tidak dapat mengambil air kerana air masin naik ke sungai ke hilir.

"Ada yang berlaku disebabkan paip pecah dan sebagainya. Jadi setiap yang berlaku itu ada keunikan masing-masing dan saya percaya dengan kebolehan Satu (Syarikat Air Terengganu), Insya-Allah, kita cuba menyelesaikannya segera mungkin.

"Mengenai gangguan bekalan air yang dikatakan berlaku pada waktu puncak terutama ketika musim perayaaan, beberapa loji rawatan air yang baharu diperlukan.

"Ini dalam proses perbincangan dan ada yang telah dalam masa seminggu yang lalu ada yang baharu dihidupkan, ada yang dalam proses perancangan, jadi iaakan makan masa untuk menyelesaikan isu ini secara keseluruhannya," katanya.

Ahmad Samsuri berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Dewan Undangan Negeri (Dun) Rhu Rendang di Dataran Pejabat Daerah Marang di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, pihaknya memandang serius isu gangguan bekalan air yang berlaku di Terengganu dan akan berusaha sebaik mungkin bagi menangani isu berkenaan.

Katanya, kerjasama semua pihak diperlukan untuk melaporkan segera sekiranya berlaku gangguan bekalan air di kawasan masing-masing.

"Jika masyarakat ada mengesan di mana kebocoran, di mana paip pecah dan sebagainya, kena laporkan segera sebab bila berlaku paip pecah dan laporan lambat dibuat, ia akan menjejaskan lebih ramai pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 5:14 PM