AWANG (dua dari kanan) menyerahkan cek dan bakul prihatin PERKESO kepada Ibrahim Majid (dua kiri) sambil diperhatikan isterinya, Norhayati di Jeti Pelancongan Kuah, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
AWANG (dua dari kanan) menyerahkan cek dan bakul prihatin PERKESO kepada Ibrahim Majid (dua kiri) sambil diperhatikan isterinya, Norhayati di Jeti Pelancongan Kuah, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman

Langkawi: Majikan mempunyai tempoh dua minggu lagi atau sehingga akhir bulan ini bagi mendaftarkan pekerja dan membayar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mereka sebelum berhadapan tindakan tegas.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim, berkata Perkeso komited melaksanakan Op Kesan di seluruh negara bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap majikan degil mulai 1 Jun ini.

"Bagi majikan yang mendaftar secara sukarela sebelum tarikh pemutihan berakhir (31 Mei) akan dikecualikan daripada tindakan kompaun, pendakwaan dan faedah caruman lewat bayar.

"Op Kesan akan dibuat secara menyeluruh dan majikan yang degil akan dikenakan kompaun serta merta, malah jika perlu kita akan buka kertas siasatan untuk pendakwaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Perkeso Kedah Mohd Asri Mohd Rasid dan Pengurus Perkeso Langkawi Yusuf Kasim.

Awang berkata, majikan yang gagal mematuhi undang-undang berkenaan bakal berdepan hukuman denda sehingga RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, beliau menyampaikan cek faedah pengurusan jenazah Perkeso sebanyak RM2,000 kepada bapa, Ahmad Nur Hassanuddin, Ibrahim Majid, 68, di Jeti Pelancongan Kuah di sini, hari ini.

Ahmad Nur Hassanuddin, 24, adalah kru kapal layar yang lemas selepas terjatuh dari bot dikemudinya di perairan Kuah, Rabu lalu, sebelum mangsa ditemui tiga hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 1:25 PM