ONN Hafiz (tiga kiri) menyerahkan kek kepada Ahmad Shakir sempena sambutan Hari Guru di MSAB. FOTO Izz Laily Hussein
ONN Hafiz (tiga kiri) menyerahkan kek kepada Ahmad Shakir sempena sambutan Hari Guru di MSAB. FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Sebanyak RM5,000 akan diperuntukkan untuk setiap bilik guru bagi semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan di negeri ini.

Ia bagi kegunaan menambah baik bilik guru sekali gus memberi keselesaan kepada guru untuk bertugas mencurahkan ilmu dengan lebih baik.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan yang diberikan adalah tanda kasih dan penghargaan kerajaan negeri kepada 53,130 guru di negeri ini sempena sambutan Hari Guru tahun ini.

Katanya, peruntukan itu membabitkan jumlah RM8.88 juta untuk 1,775 sekolah di seluruh Johor tidak kira sekolah rendah, menengah, sekolah jenis kebangsaan serta sekolah agama .

"Bagi menghargai pengorbanan guru di semua sekolah di negeri Johor, sukacita saya umumkan satu bantuan khas untuk bilik-bilik guru di seluruh negeri ini.

"Setiap bilik guru akan mendapat bantuan khas RM5,000 untuk mereka fikirkan bagaimana untuk mengimarahkan atau bagi tujuan keselesaan mereka di bilik guru masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Guru di Dewan Sultan Iskandar, Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norliza Noh; Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Sahilon Abd Halim dan Pengetua MSAB, Ahmad Shakir Jaafar.

Onn Hafiz berkata, beliau berharap peruntukan yang diberikan itu dapat digunakan sebaik mungkin oleh pengurusan sekolah bagi tujuan yang dimaksudkan.

Pada masa sama, Onn Hafiz turut mengumumkan kerajaan negeri meluluskan permohonan peruntukan RM200,000 kepada pihak MSAB bagi membolehkan dewan sekolah berkenaan ditambah baik.

Menurut Onn Hafiz, MSAB atau lebih dikenali sebagai English College (EC) antara sekolah tertua di negeri ini yang dibina pada 1914 dan banyak melahirkan tokoh-tokoh berjasa untuk negeri dan negara.

"Justeru, peruntukan yang disalurkan kerajaan negeri ini bagi tujuan penyelenggaraan kritikal bumbung dan simen serta kerja tambah baik dewan di sekolah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 12:17 PM