Siti Rohana Idris


Tumpat: Kelibat beberapa ekor burung merpati berterbangan di cabang tiga Kepulau, di sini, dianggap pemandangan biasa kecuali gabungan warna biru dan merah jambu pada badan haiwan itu menarik perhatian.

Kawanan merpati yang dilepas bebas itu turut menjadi sasaran lensa telefon pintar pengguna jalan raya untuk merakam gambar 'tarikan' yang dicipta pemilik premis jualan burung merpati, Ismail Daud, 55.

Ismail yang mula mewarnakan burung merpati peliharaannya dengan gabungan dua warna itu sejak setahun lalu mengakui hasil kreatifnya menjadi tarikan pengunjung sekali gus jualan burung merpati agak meningkat.

Dengan hanya menggunakan cat kenderaan, katanya, semburan warna hanya dibuat terhadap merpati berusia dua bulan sahaja iaitu usia yang sesuai untuk dijual.

Sebahagian burung merpati yang digelar ‘Merpati Pelangi’ yang dijual Ismail ketika ditemui di Simpang Tiga, Kampung Kepulau hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Sebahagian burung merpati yang digelar ‘Merpati Pelangi’ yang dijual Ismail ketika ditemui di Simpang Tiga, Kampung Kepulau hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Saya membeli merpati berusia sekitar sebulan daripada pembekal dan ia akan dijinakkan terlebih dahulu dalam tempoh dua minggu hingga sebulan.

"Selepas itu baru saya akan menyemburnya dengan dua warna itu di mana prosesnya tidak sukar kerana merpati sudah jinak, namun adakalanya perlu juga ditenangkan.

"Setakat ini hanya merpati dan ayam hutan yang badannya berwarna putih sahaja diwarnakan," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Ismail yang sudah lebih 10 tahun menternak dan menjual merpati, ayam hutan, ayam serama serta ayam batik berkata, sebelum menggunakan kaedah semburan cat kenderaan, dia pernah cuba mewarnakannya dengan pewarna air.

Selain itu, campuran kunyit juga turut digunakan, namun dua kaedah sebelum ini warnanya tidak bertahan lama berbanding cat kenderaan yang mampu kekal hingga 10 bulan.

"Saya menjual merpati ini pada harga serendah RM30 bergantung kepada saiz dan diakui sejak mewarnakan merpati ini, jualan sedikit meningkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 3:22 PM