RAZARUDIN memeriksa perbarisan sempena Majlis Istiadat Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan SUKSIS UMS di Kota Kinabalu. FOTO ihsan UMS
RAZARUDIN memeriksa perbarisan sempena Majlis Istiadat Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan SUKSIS UMS di Kota Kinabalu. FOTO ihsan UMS
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mendapatkan kepastian berhubung status sebenar anggota Abu Sayyaf, Mudzrimar @ Mundi Sawadjan yang disenarai semula sebagai individu dikehendaki.

Sebelum ini, individu terbabit dilaporkan terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan dengan pihak berkuasa Filipina pada 17 Mei tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya akan mendapatkan pengesahan berhubung perkara itu daripada pihak berkuasa negara jiran.

"Kita akan 'confirm' balik dengan pihak berkuasa Filipina," katanya ketika ditemui selepas Majlis Istiadat Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.

Persoalan itu tercetus selepas kenyataan dikeluarkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sebelum ini menyatakan, Mudzrimar adalah antara 20 warga Filipina yang dikehendaki.

Semua individu itu dipercayai terbabit dalam kes penculikan untuk wang tebusan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Sementara itu, sempena sambutan Tahun Baru Cina ini, Razarudin menasihati orang ramai supaya sentiasa memaklumkan kepada polis sepanjang ketiadaan mereka.

Katanya, PDRM akan mempergiatkan rondaan di kawasan kediaman serta premis perniagaan dari semasa ke semasa.

"Ia adalah antara usaha polis bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini seperti pecah rumah ketika musim perayaan.

"Kita ingin mengingatkan pemilik rumah atau premis supaya memaklumkan kepada balai polis berdekatan sepanjang ketiadaan mereka atau mengisi borang di portal PDRM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 3:46 PM