Dr Nor Azimi (dua kanan) ketika operasi FOTO Mohd Rafi Mamat
Dr Nor Azimi (dua kanan) ketika operasi FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Dua premis makanan, di sini, diarah tutup serta-merta selepas didapati berada dalam keadaan kotor sekali gus tidak mencapai standard kebersihan ditetapkan.

Lebih menjijikkan apabila pemeriksaan ke atas dapur salah satu premis itu turut menemui najis kucing dan tikus.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, dalam pemeriksaan itu, pihaknya turut mengesan tindakan pengusaha menyimpan makanan siap dimasak bersama makanan mentah.

Menurutnya, dua premis terbabit diambil tindakan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan diarah tutup selama 14 hari untuk kerja pembersihan.

"Tindakan kompaun turut diambil ke atas beberapa premis makanan lain di daerah ini kerana tahap kebersihan kurang memuaskan selain kompaun atas kesalahan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Akta 342 kepada pelanggan dan pengusaha," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Operasi Penguat kuasaan Bersepadu Mega Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 Akta 342 dan Akta Makanan 1983 Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, di sini, semalam.

Dr Nor Azimi berkata, sehingga 22 Januari lalu, sebanyak 10 premis makanan diarah tutup kerana kotor dan 178 notis kesalahan bernilai RM36,300 turut dikeluarkan kepada pengendali makanan.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 92 premis diarah tutup atas kesalahan sama, manakala 1,586 notis kesalahan dikeluargakn dengan nilai kompaun sebanyak RM304,150.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 750 atau 47.2 peratus notis kesalahan dikeluarkan terhadap pengendali makanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 3:26 PM