Ahmad Saidi melancarkan aplikasi digital khidmat sokongan pusat kesejahteraan yang dibangunkan Wellness Centre UPSI di Tajung Malim hari ini. Foto Ihsan UPSI
Ahmad Saidi melancarkan aplikasi digital khidmat sokongan pusat kesejahteraan yang dibangunkan Wellness Centre UPSI di Tajung Malim hari ini. Foto Ihsan UPSI
Muhaamad Hafis Nawawi

Tanjung Malim: Pusat Kesejahteraan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Wellness Centre UPSI) di sini, membangunkan aplikasi digital khidmat sokongan pusat kesejahteraan dengan mensasarkan pusat latihan kaunseling bertauliah.

Ia dilancarkan Exco Pendidikan Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud di Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) Kampus Sultan Azlan Shah hari ini.

Beliau turut melancarkan perkhidmatan kaunseling menggunakan pelantar aplikasi digital yang dicapai menggunakan laman sesawang yang bermanfaat untuk komuniti setempat.

Ahmad Saidi berkata, inisiatif yang diambil oleh UPSI amat bertepatan dengan falsafah pendidikan yang fokus kepada pembangunan manusia pada hari ini.

"Jika kita perhatikan terdapat segelintir warga masyarakat hari ini menghadapi pelbagai kesulitan dan pelbagai tekanan hidup berdepan dengan situasi pasca Covid-19.

"Menerusi pendekatan secara holistik daripada UPSI sekali gus membantu masyarakat untuk mendapatkan khidmat rundingan terbaik, sesuai dengan ledakan revolusi 4.0 dan teknologi 5G menjadikan UPSI antara universiti awam yang memacu kepada perubahan itu dari segi interaksi, urusniaga, kesihatan dan kesejahteraan sejagat," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pelancaran di sini.

Wellness Centre UPSI yang dibangunkan oleh sekumpulan sukarelawan dan tenaga pengajar Jabatan Psikologi dan Kaunseling, sejak 2012 itu membabitkan pelbagai latihan berkaitan kesejahteraan dan kaunseling untuk pelajar dengan modul praktikum dan praktikal selain memberi sesi kaunseling kepada individu mahupun kumpulan berkelompok.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, platform digital sehenti Pusat Kesejahteraan UPSI terdiri daripada lapan buah aplikasi dalaman iaitu sistem infak, tempahan khidmat rundingan kaunselor, Sistem Pengurusan Kesejahteraan (Well-Manage System), Capaian Sumber Inovasi pintar dan Akademik (E-Innovation & Academic Resources), Sistem Tempahan Ruang, Sistem Daftar Pengurusan Acara, Sistem Pengurusan Fail dan sistem jualan makanan (Wellness Coffee).

"Sistem ini dihasilkan oleh pelajar UPSI sendiri dan membuktikan bahawa modal insan UPSI mampu membawa UPSI seiring dengan keperluan era semasa.

"Bukan itu sahaja, Wellness Centre UPSI menyumbang peranan dalam memberi latihan dan perkhidmatan sokongan kepada warga UPSI yang terdiri daripada warga staf dan pelajar," katanya.

Menurut Md Amin, seramai 50 orang kaunselor pelatih yang menjalankan latihan industri di Wellness Centre dan mengendalikan pelbagai rencam antaranya 500 kes kaunseling indvidu, 300 kes kaunseling kelompok dan 100 program berkaitan.

"Melalui sistem laman sesawang yang dibangunkan ini sekali gus meningkatkan latihan serta perkhidmatan kaunseling dan kesihatan mental secara pintar dan optimum serta menyasarkan untuk menjadi peneraju pusat kesejahteraan di tanah air," katanya.

Laman sesawang Wellness Centre UPSI boleh dicapai menerusi https://wellnessupsi.com.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 9:35 PM